Belia Digesa Kuasai Teknologi Baharu, Perkukuh Kepimpinan Masa Depan
KUCHING: Golongan belia di Sarawak digesa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran teknologi serta nilai kepimpinan berkualiti bagi merebut peluang dalam sektor ekonomi baharu, sekali gus menjadi pemacu pembangunan negeri pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki berkata, perkembangan pesat teknologi dan perubahan landskap ekonomi memerlukan generasi muda lebih bersedia, berdaya saing serta berani meneroka bidang berpotensi tinggi.
Menurut beliau, antara bidang yang perlu diberikan perhatian termasuk kejuruteraan, teknologi elektronik, semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), teknologi maklumat dan tenaga boleh diperbaharui yang semakin penting dalam menyokong aspirasi Sarawak mencapai status negeri maju.
"Golongan belia bukan sahaja merupakan aset penting kepada pembangunan negeri, malah bakal menerajui kepimpinan di peringkat komuniti, negeri dan nasional," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Dialog Bersama Datuk Ibrahim Baki sempena Majlis Apresiasi Belia Satok 2026 baru-baru ini.
Program anjuran Kelab Belia Pertiwi Jalan Satok itu menyediakan platform interaksi dua hala antara golongan belia dengan kepimpinan setempat bagi membincangkan aspirasi, keperluan serta peluang pembangunan generasi muda.
Dalam pada itu, Datuk Ibrahim turut menggalakkan belia melibatkan diri secara aktif dalam pertubuhan dan aktiviti kemasyarakatan sebagai medan membina keyakinan, memperkukuh kemahiran komunikasi serta mengasah bakat kepimpinan.
Katanya, proses melahirkan pemimpin berkualiti perlu bermula di peringkat akar umbi menerusi latihan berterusan, pendedahan dan pengalaman mengurus organisasi.-EDISI UKAS