BINTULU: Seramai 90 penerima menerima pengiktirafan menerusi penganjuran sulung Anugerah Kelestarian Bintulu (BiSA) 2026 sebagai usaha menggalakkan pelaksanaan amalan kelestarian dalam kalangan organisasi, institusi dan komuniti.
Co-Patron BiSA 2026, Profesor Dr Shahrul Razid Sarbini berkata, pembangunan kerangka penilaian yang berwibawa, inklusif dan telus penting bagi memastikan penyertaan daripada pelbagai sektor dinilai secara menyeluruh berdasarkan keupayaan serta pelaksanaan amalan kelestarian masing-masing.
Menurut beliau, amalan kelestarian berbeza mengikut sektor berikutan perbezaan keperluan operasi, sumber dan keupayaan sesebuah organisasi, termasuk perusahaan industri berskala besar, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), institusi pendidikan, agensi kerajaan serta organisasi komuniti.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis BiSA yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di sini pada Isnin.
Sehubungan itu, BiSA 2026 memperkenalkan enam kategori utama penyertaan yang merangkumi 12 subkategori bagi membuka peluang penyertaan lebih menyeluruh melibatkan sektor perniagaan, perladangan, perkhidmatan, pendidikan, kerajaan, komuniti dan individu.
Kerangka penilaian tersebut berasaskan lima tonggak utama kelestarian, iaitu tadbir urus dan kepimpinan kelestarian, prestasi alam sekitar, inovasi dan ekonomi kitaran, tanggungjawab sosial dan impak komuniti serta pengukuran impak dan penambahbaikan berterusan.
Daripada keseluruhan 90 penerima, seramai 19 menerima pengiktirafan ‘Sustainability Commitment’, 13 bagi ‘Sustainability Progress’, 25 penerima bagi ‘Sustainability Achievement’, 21 penerima bagi ‘Sustainability Excellence’ dan 12 penerima bagi ‘Sustainability Leadership’.
Penganjuran BiSA 2026 diharap dapat menggalakkan lebih banyak organisasi, institusi dan komuniti memperkukuh inisiatif kelestarian secara berperingkat, sekali gus menjadikan amalan tersebut sebahagian daripada budaya dan operasi harian.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato Sri Tiong King Sing serta Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Dato Haidar Khan Asghar Khan dan Pengurus Besar BDA Datu Muhamad Yakup Kari. -EDISI UKAS