Kepimpinan Desa Diperkasa, Pastikan Tiada Kampung Tercicir Daripada Pembangunan
KUCHING: Pemerkasaan kepimpinan desa menjadi antara keutamaan dalam memastikan pembangunan yang pesat di Bahagian Samarahan dapat dinikmati secara menyeluruh, khususnya oleh masyarakat luar bandar agar tiada kampung tercicir daripada arus kemajuan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, pembangunan sesebuah kawasan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kemajuan infrastruktur dan fizikal, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan pembangunan kepimpinan serta keupayaan komuniti setempat.
Menurut beliau, Bahagian Samarahan yang kini mencapai usia 40 tahun telah melalui transformasi pembangunan ketara sepanjang empat dekad, merangkumi aspek infrastruktur, ekonomi, sosial dan pendidikan.
Bagaimanapun, kemajuan tersebut perlu terus diperkasakan seiring perubahan keperluan masyarakat, perkembangan teknologi serta cabaran pembangunan semasa.
“Kalau kawasan kita membangun, kita tidak mahu kampung-kampung kita tercicir. Kita perlu memastikan pembangunan ini selari dan dapat dinikmati oleh masyarakat setempat, khususnya komuniti kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Penutup Program Pemerkasaan Pemimpin Desa Sejahtera Bahagian Samarahan 2026 di sebuah hotel di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berkata, kepimpinan desa yang berwibawa merupakan aset penting bagi memastikan setiap perancangan dan inisiatif pembangunan dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada masyarakat akar umbi.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan lebih banyak penganjuran seminar, bengkel dan sesi perkongsian ilmu bagi memperkukuh pengetahuan, kemahiran serta keupayaan ketua masyarakat, ketua kaum dan jawatankuasa kampung dalam mengurus pembangunan komuniti masing-masing.
Pada masa sama, beliau mengingatkan pemimpin desa supaya lebih proaktif mengenal pasti kekuatan, sumber dan potensi kampung masing-masing, di samping mengamalkan tadbir urus yang cekap, telus serta berintegriti.
“Desa ataupun kampung adalah DNA kita. Di situlah asal-usul kita, tempat lahirnya semangat gotong-royong serta budaya saling menjaga antara satu sama lain,” katanya.
Turut hadir, Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang, Ketua Institut Kemajuan Desa (INFRA) Negeri Sarawak, Annie Liaw, Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan, Dato Haji Chek Bujang dan Temenggong Masyarakat Cina Bahagian Samarahan, Liew Shark Shen.-EDISI UKAS