Pesta Tanglung Oya Cerminan Perpaduan Masyarakat Berbilang Kaum
OYA: Pesta Tanglung 2026 di Oya bukan sahaja memelihara warisan budaya masyarakat Cina, malah mencerminkan keharmonian dan perpaduan dalam komuniti setempat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya merupakan keistimewaan Sarawak yang perlu terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi muda.
"Kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya merupakan keistimewaan Sarawak yang perlu terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi muda," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Perayaan Pesta Tanglung 2026, di sini pada Selasa.
Dato Sri Fatimah turut menggalakkan golongan belia melibatkan diri dalam aktiviti kebudayaan dan kemasyarakatan bagi memupuk sikap saling menghormati, toleransi serta semangat perpaduan.
Menurutnya, pembangunan sesebuah kawasan bukan sahaja bergantung kepada kemajuan infrastruktur dan ekonomi, malah turut memerlukan hubungan sosial yang kukuh serta kerjasama masyarakat. -EDISI UKAS