Kampung Niup Tradisi Johan Pertandingan Keceriaan Kampung, Terima Geran RM100,000
KUCHING: Kampung Niup Tradisi muncul johan Pertandingan Keceriaan Kampung Peringkat Daerah Samarahan sekali gus membawa pulang geran khas projek bernilai RM100,000 serta hadiah wang tunai RM10,000.
Kejayaan itu turut melayakkan kampung berkenaan menerima piala iringan dan sijil penghargaan, sekali gus mengungguli pertandingan yang disertai lebih 20 kampung dengan 10 daripadanya berjaya mara ke peringkat akhir.
Tempat kedua diraih Kampung Mang Tradisi yang menerima wang tunai RM8,000, manakala Kampung Meranek/Langsat menduduki tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM5,000.
Sementara itu, tujuh kampung menerima hadiah saguhati berupa wang tunai RM1,000 berserta sijil penghargaan setiap satu.
Kampung berkenaan ialah Kampung Sindang Hilir, Kampung Mang Lot Baru, Kampung Pinang Hilir, Kampung Niup Tengah, Kampung Melayu, Kampung Meranek Lot Baru dan Kampung Tanjung Parang.
Penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang semasa Majlis Perasmian Penutup Program Pemerkasaan Pemimpin Desa Sejahtera Bahagian Samarahan 2026 di sebuah hotel di sini pada Selasa.
Pertandingan berkenaan bukan sekadar memberi penekanan kepada aspek kebersihan dan keceriaan fizikal kampung, malah menjadi platform menggalakkan penglibatan aktif penduduk, memperkukuh semangat gotong-royong serta meningkatkan kerjasama dalam pembangunan komuniti setempat.
Dalam majlis sama, Kampung Empila Hilir turut menerima Anugerah Apresiasi Kecemerlangan Desa sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan pencapaiannya dalam mengharumkan nama Bahagian Samarahan di peringkat kebangsaan.
Menerusi pengiktirafan tersebut, Kampung Empila Hilir menerima wang tunai RM1,000, sebuah komputer riba serta Geran Khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) 2026 bernilai RM30,000.
Selain itu, kampung berkenaan turut menerima Geran Khas Projek Mesra Rakyat berjumlah RM200,000 bagi Masjid Darul Sabirin, Kampung Empila.
Pemberian geran dan pengiktirafan tersebut diharap dapat memperkukuh pembangunan komuniti, meningkatkan kemudahan setempat serta menjadi pemangkin kepada kampung-kampung lain di Bahagian Samarahan untuk terus meningkatkan kecemerlangan dalam pembangunan desa.
Turut hadir, Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang, Ketua Institut Kemajuan Desa (INFRA) Negeri Sarawak, Annie Liaw, Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan, Dato Chek Bujang dan Temenggong Masyarakat Cina Bahagian Samarahan, Liew Shark Shen.-EDISI UKAS