Bantuan Pendidikan Dalat Cecah RM1.05 Juta, 2,090 Pelajar Terima Manfaat Sejak 2010
DALAT: Seramai 2,090 pelajar di kawasan Dalat menerima bantuan pendidikan berjumlah RM1.05 juta sejak 2010 hingga November 2026 bagi membantu mereka melanjutkan pengajian tanpa terbeban dengan kekangan kewangan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, usaha yang dimulakan sebelum 2010 itu pada awalnya memberi tumpuan kepada golongan B40 sebelum diperluaskan kepada pelajar lain yang memerlukan bantuan menerusi peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP).
"Masa depan generasi muda kita amat bergantung kepada pencapaian dalam bidang pendidikan.
"Justeru, pihak kami beriltizam memastikan seramai mungkin anak-anak tempatan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi yang boleh, merangkumi peringkat persekolahan menengah sehinggalah ke peringkat Ijazah Sarjana Muda," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Jawatankuasa Pendidikan Daerah Dalat, di sini pada Selasa.
Pada majlis itu, seramai 99 pelajar yang menerima tawaran melanjutkan pengajian di peringkat Sijil, Asasi, Pra-Diploma, Matrikulasi, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda menerima bantuan berjumlah RM42,200.
Selain bantuan kewangan secara langsung, Jawatankuasa Pendidikan Daerah Dalat turut melaksanakan pelbagai program sokongan pendidikan dan kebajikan murid, termasuk Pertandingan Asrama Terbilang, kelas bimbingan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBKS) serta usaha memperkasa persatuan di daerah berkenaan. -EDISI UKAS