Penglibatan Komuniti Akar Umbi Penting Cegah Penyalahgunaan Dadah Di Dalat
DALAT: Penglibatan keluarga, kepimpinan masyarakat dan komuniti setempat perlu diperkukuh bagi membendung penyalahgunaan dadah dan substans, susulan 53 tangkapan berkaitan kesalahan dadah direkodkan di Daerah Dalat dalam tempoh Januari hingga Oktober 2026.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, daripada jumlah individu yang ditahan, 92.45 peratus didapati positif ujian air kencing, sekali gus menunjukkan keperluan untuk mempergiat usaha pencegahan di peringkat akar umbi.
“Usaha menangani isu berkenaan bukan hanya tanggungjawab agensi penguat kuasa, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh masyarakat bagi melindungi golongan muda daripada terjebak dalam penyalahgunaan dadah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Biro One Stop Committee bagi Menangani Isu Dadah dan Substans (OSC MIDS), di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah turut menggesa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta pemimpin masyarakat supaya mempergiat program kesedaran dan pendidikan pencegahan dadah melalui aktiviti bersama ibu bapa, kempen di sekolah, program sukan belia serta dialog dengan agensi berkaitan.
“Saya berharap kerjasama OSC MIDS Daerah Dalat, Pejabat Daerah, JKKK, institusi pendidikan dan agensi kerajaan dapat diteruskan menerusi pelaksanaan program susulan yang lebih tersusun dan berterusan,” ujarnya lagi.
Turut hadir, Residen Bahagian Mukah Bujang Rahman Seli, Pegawai Daerah Dalat merangkap Pengerusi OSC MIDS Daerah Dalat Mathew Hubert, Temenggung Bahagian Mukah Hendi Suhai dan Pemanca Daerah Dalat merangkap Pengerusi Biro MIDS Kawasan Penghulu Daerah Dalat Peter Lai Sakul. -EDISI UKAS