JKR, Kontraktor Projek Jalan Batu Kawa-Stephen Yong Disasar Capai Sifar Gangguan Utiliti
KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan kontraktor pelaksana Projek Jalan Batu Kawa ke Jalan Stephen Yong disasarkan mencapai sifar gangguan kemudahan utiliti sepanjang tempoh pembinaan bagi mengelakkan bekalan air, elektrik dan telekomunikasi kepada penduduk terjejas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penyelarasan rapi antara JKR, agensi utiliti, pasukan perunding dan kontraktor perlu diberi keutamaan bagi memastikan kerja pembinaan projek bernilai RM207.88 juta itu berjalan lancar tanpa menjejaskan perkhidmatan kepada orang awam.
“Saya tidak mahu dengar paip pecah, elektrik putus dan itu akan menjadi tugas utama kamu,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Jalan Batu Kawa ke Jalan Stephen Yong yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg, di sini pada Rabu.
Menurutnya, penyelarasan berterusan dengan agensi seperti Sarawak Water, Sarawak Energy dan syarikat telekomunikasi penting bagi mengenal pasti kedudukan kemudahan utiliti sedia ada sebelum kerja pembinaan dilaksanakan.
Dalam pada itu, Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak itu turut menegaskan pendekatan turun padang yang melibatkan JKR, agensi utiliti dan kontraktor seperti yang dilaksanakan ketika pembinaan Jalan Matang diteruskan bagi mengelakkan gangguan perkhidmatan yang tidak sepatutnya kepada penduduk.
“Kita turun padang dan memastikan gangguan yang tidak sepatutnya kepada orang awam dapat dielakkan,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Amar Douglas memaklumkan kemajuan fizikal projek jalan sepanjang 5.664 kilometer itu telah mencapai 12.03 peratus.
Projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak itu dibina mengikut piawaian JKR U3 dengan jalan dua lorong dua hala serta dua jambatan konkrit bertetulang, masing-masing sepanjang 74.8 meter merentasi Sungai Moyan dan 280.8 meter merentasi Sungai Sarawak.
Skop pembinaan turut merangkumi pembetung, sistem perparitan, lampu jalan, persimpangan berlampu isyarat dan laluan akses, selain kerja pengalihan serta perlindungan utiliti. -EDISI UKAS