SKAS & FTES Ringankan Beban Keluarga Penan Long Daloh Asal
MIRI: Penyaluran Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) Fasa 3 dan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) membantu meringankan beban keluarga Penan di Long Daloh Asal, ketika masyarakat di kawasan pedalaman itu terus berusaha memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang lebih baik.
Ketua Kampung Long Daloh Asal, Jackson Luhat Paren berkata, bantuan berkenaan memberi kelegaan kepada keluarga dalam memenuhi keperluan asas masing-masing di samping memastikan generasi muda luar bandar mendapat peluang pendidikan tinggi.
“Kami berharap bantuan seperti ini diteruskan kerana dapat membantu keluarga,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai anak Penan dapat memanfaatkan peluang melanjutkan pengajian menerusi FTES selain mendapat sokongan berterusan daripada ibu bapa untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.
“Kami berharap generasi hari ini tidak lagi ketinggalan seperti pada zaman nenek moyang kami dahulu dan berpeluang menikmati kemajuan bersama masyarakat lain.
“Kami juga ingin maju bersama masyarakat lain dan sama-sama menyumbang kepada pembangunan Sarawak sebagai sebuah negeri yang aman dan makmur,” katanya.
Dalam pada itu, Jackson turut menghargai pelbagai kemudahan asas yang disediakan di kampung berkenaan sejak awal tahun ini, termasuk bekalan elektrik solar menerusi Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES), dewan serbaguna, jalan konkrit, liputan telekomunikasi dan bekalan air bersih. -EDISI UKAS