BINTULU: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak menyasarkan penyertaan 24 pasukan daripada institusi pengajian tinggi di seluruh Borneo bagi penganjuran Premier of Sarawak Debate Challenge Cup (PSDC) 2027 Borneo Edition.
Cadangan penganjuran itu dibincangkan menerusi kunjungan hormat delegasi AZAM yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ali Suhaili ke kampus Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) pada Selasa bagi meneroka potensi kerjasama sebagai universiti tuan rumah pertandingan.
Penyertaan yang disasarkan melibatkan institusi pengajian tinggi dari Sarawak, Sabah, Labuan, Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia.
Perbincangan bersama Pengarah UPMS, Profesor Dr. Shahrul Razid Sarbini turut merangkumi kesesuaian kemudahan kampus, termasuk cadangan penggunaan Dewan Seri Kenyalang bagi pertandingan akhir, selain keperluan logistik dan penyelarasan program.
Menurut Ali, penganjuran PSDC di peringkat Borneo berpotensi memperkukuh hubungan dalam kalangan mahasiswa serta membuka ruang pertukaran idea dan perspektif mengenai pembangunan wilayah.
“PSDC bukan sekadar pertandingan debat. Kita mahu menjadikannya ruang untuk anak muda Borneo bertemu, bertukar pandangan dan memahami isu pembangunan dari perspektif yang lebih luas, di samping membina jaringan yang boleh membawa manfaat kepada institusi dan komuniti masing-masing,” katanya.
PSDC 2027 Borneo Edition merupakan cadangan peluasan pertandingan debat anjuran AZAM yang berjaya menghimpunkan 18 pasukan daripada 10 institusi pengajian tinggi pada edisi 2026.
Peluasan tersebut bertujuan memperkasa kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan kepimpinan mahasiswa, selain menggalakkan perbincangan mengenai isu pembangunan serantau.
Kedua-dua pihak turut meneroka potensi penggunaan jaringan Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB) bagi memperluas penyertaan institusi pengajian tinggi serantau.
AZAM dan UPMS juga akan meneruskan perbincangan bagi memperincikan cadangan penganjuran, termasuk aspek kemudahan, penyelarasan program dan penglibatan institusi pengajian tinggi. -EDISI UKAS