Kerajaan Sarawak Tanggung Kerugian Hampir RM49 Juta Sejak 2023
SEBUYAU: Kerajaan Sarawak menanggung kerugian hampir RM49 juta akibat kegiatan vandalisme terhadap infrastruktur utiliti dan telekomunikasi di negeri ini bagi tempoh 2023 hingga suku pertama 2026.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kegiatan itu bukan sahaja melibatkan pemotongan kabel, malah turut membabitkan penebangan tiang lampu jalan serta pengorekan kabinet penyimpanan kabel di tepi jalan sehingga menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan telekomunikasi.
Menurutnya, antara kawasan yang dikenal pasti berdepan masalah berkenaan termasuk sekitar Jalan FAC dan Jalan Casuarina di Kuching serta Sungai Raya di Sarikei.
“Sebagai contoh di Sungai Raya, Sarikei, pihak Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) terpaksa membina pagar konkrit setinggi sembilan kaki atau tiga meter yang dilengkapi kawat berduri di bahagian atas bagi membendung kecurian kabel di kawasan tersebut.
“Kita juga telah mengenal pasti lima lagi lokasi lain yang agak serius. Pembinaan pagar konkrit perimeter seperti ini melibatkan kos yang tinggi kepada agensi berkaitan, dianggarkan sekitar RM100,000 dan ini merupakan satu pembaziran selain mengganggu capaian internet penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pencegahan Vandalisme Terhadap Kemudahan Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dan Taklimat Keselamatan Elektrik di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Dato Sri Julaihi berkata, walaupun trend kes vandalisme menunjukkan sedikit penurunan, jumlah kerugian masih memberi kesan besar berikutan kos yang perlu ditanggung bagi kerja-kerja pemulihan dan penggantian aset yang rosak.
Dalam usaha memperkukuh keselamatan infrastruktur, beliau berkata pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan titik panas turut dilaksanakan bagi membolehkan pemantauan dibuat secara terus dari ibu pejabat.
Bagaimanapun, katanya, kesedaran dan tanggungjawab sivik masyarakat kekal menjadi aspek penting dalam usaha membendung kegiatan berkenaan.
“Semua pihak mesti mempunyai rasa tanggungjawab dan ambil peduli terhadap kemudahan awam yang disediakan kerajaan kerana ia melibatkan keperluan harian rakyat.
“Orang ramai yang mengesan sebarang aktiviti mencurigakan diminta segera melaporkannya kepada pihak berkuasa,” ujarnya.
Turut hadir, Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang, Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Raduan Haji Bujet serta Temenggung Melayu Bahagian Samarahan, Temenggung Dato Haji Chek Bujang.-EDISI UKAS