93 Peratus Graduan Sarawak Skills Dapat Pekerjaan Dalam Tempoh Enam Bulan
KUCHING: Seramai 93 peratus graduan Sarawak Skills berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan latihan, dengan 78 peratus daripada mereka bekerja dalam bidang kemahiran yang dipelajari.
Pengerusi Sarawak Skills, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain berkata, pencapaian itu menunjukkan keberkesanan pendekatan latihan institusi berkenaan dalam melahirkan tenaga kerja kompeten yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.
“Peningkatan kadar kebolehpasaran sebanyak 93 peratus selepas enam bulan bergraduasi menunjukkan bahawa Sarawak Skills berada di landasan yang tepat dalam melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Sarawak Skills Ke-28 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di sini pada Khamis.
Pada majlis itu, seramai 851 graduan menerima sijil dan diploma kemahiran, merangkumi 579 penerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), 224 penerima Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), enam graduan program SKM dan DKM melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) serta 42 graduan program Electrician Low Voltage Chargeman (L1).
Berucap lanjut, Tan Sri Abdul Aziz berkata, Sarawak Skills terus memperkukuh pendekatan latihan dengan memberi penekanan kepada pendedahan industri, pengalaman praktikal dan penggunaan teknologi terkini bagi memastikan graduan bersedia menghadapi tuntutan pasaran pekerjaan.
“Sarawak Skills terus komited dalam menerajui transformasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui peralihan daripada Latihan Berasaskan Institusi kepada Latihan Berasaskan Industri dengan memberi penekanan kepada latihan praktikal, pendedahan kepada teknologi terkini serta penglibatan langsung pihak industri dalam pembangunan dan pelaksanaan program latihan,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu Sarawak Skills pada 2025 turut menerima Anugerah Penarafan Lima Bintang terbanyak daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia (JPK), sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan institusi itu dalam aspek pengurusan, kualiti latihan dan kerjasama industri.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Industri kepada 27 graduan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang mereka serta pengenalan Anugerah Graduan Cemerlang Yayasan Sarawak buat julung kalinya.
Anugerah khas Yayasan Sarawak itu diberikan kepada Cyprian Borameo Jo Guan daripada program Diploma Kemahiran Malaysia dalam bidang Sokongan Sistem Kejuruteraan Automasi Industri dan Thien Jian Hui daripada program Diploma Kemahiran Malaysia dalam bidang Pengurusan Operasi Percetakan.
Tiga anugerah utama Sarawak Skills turut disampaikan, iaitu Anugerah Pengerusi Sarawak Skills kepada Tiara Ashfilia Chrismer Dang Tuah, Anugerah TVET Sarawak Skills Kategori Diploma Kemahiran Malaysia kepada Sylvester Ipal dan Anugerah TVET Sarawak Skills Kategori Sijil Kemahiran Malaysia kepada Alvin Dennis. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi