Pelaburan SoftBank USD1 Bilion Pacu Ekonomi Digital Sarawak, Buka Peluang Pekerjaan Baharu
KUCHING: Pelaburan SoftBank bernilai USD1 bilion atau kira-kira RM4.08 bilion bagi pembangunan pusat data berskala besar di Sarawak dilihat sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi digital negeri, selain membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan.
Menerusi tinjauan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Khamis, rata-rata orang ramai menyambut baik pelaburan berkenaan yang disifatkan sebagai bukti keyakinan pelabur antarabangsa terhadap potensi Sarawak untuk muncul sebagai hab ekonomi digital serantau.
Mereka turut berharap pelaburan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh pembangunan bakat tempatan, meningkatkan kemahiran teknologi serta merancakkan pertumbuhan industri sokongan.
Aiman Syahir berpandangan, pelaburan berkenaan mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap hala tuju pembangunan Sarawak, khususnya dalam merealisasikan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Pelaburan ini melambangkan keyakinan pelabur terhadap Sarawak sebagai sebuah hab pelaburan yang meyakinkan serta objektif negeri untuk mencapai PCDS 2030 sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi,” katanya.
Menurutnya, pembangunan pusat data itu juga berpotensi mempercepat peralihan struktur ekonomi Sarawak daripada kebergantungan terhadap sektor konvensional kepada ekonomi berasaskan teknologi dan inovasi.
“Pelaburan ini juga membolehkan Sarawak mempelbagaikan ekonominya daripada ekonomi konvensional yang bergantung kepada minyak dan gas, pertanian dan sebagainya kepada ekonomi yang bersifat digital,” jelasnya.
Beliau turut berharap pelaburan berkenaan dapat membuka lebih banyak peluang latihan teknikal, pemindahan pengetahuan dan pembangunan kepakaran dalam kalangan tenaga kerja tempatan.
Sementara itu, Dayang Diyanah Liyana melihat pelaburan tersebut mampu memberi kesan limpahan ekonomi yang lebih luas, khususnya kepada industri sokongan yang berkaitan dengan pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI).
“Saya melihat perkembangan industri HVAC (sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara) juga akan meningkat kerana kita memerlukan tenaga kerja tempatan untuk menyokong infrastruktur dan pembangunan itu sendiri,” katanya.
Menurutnya, Sarawak mempunyai asas infrastruktur dan jaringan perhubungan yang berpotensi menyokong perkembangan industri teknologi berskala besar.
“Saya berharap kerajaan dapat memanfaatkan bakat dan sumber tempatan supaya kita dapat menikmati manfaat pelaburan ini secara langsung,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ryan Amping menyifatkan pelaburan SoftBank sebagai perkembangan positif yang mampu meningkatkan daya tarikan Sarawak kepada lebih ramai pelabur antarabangsa.
“Pelaburan USD1 bilion oleh SoftBank kepada Sarawak untuk pembangunan pusat data berskala besar akan memberi isyarat kepada pelabur lain bahawa Sarawak serius dan mempunyai potensi ekonomi,” katanya.-EDISI UKAS