AZAM Dekati Komuniti Luar Bandar, Kenal Pasti Keperluan Pembangunan
BINTULU: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak meneruskan pendekatan turun padang bagi mengenal pasti keperluan sebenar masyarakat luar bandar, sekali gus memastikan inisiatif pembangunan negeri dapat disampaikan dengan lebih berkesan.
Usaha itu diteruskan menerusi lawatan kerja dan sesi dialog bersama penduduk Rumah William Jugah, Sungai Gemuan, Tatau pada 11 November lalu, yang turut membuka ruang kepada komuniti menyuarakan aspirasi serta cabaran pembangunan setempat.
Ketua Pegawai Eksekutif AZAM, Ali Suhaili berkata, pendekatan bersemuka membolehkan pihaknya menyampaikan maklumat mengenai dasar dan inisiatif Kerajaan Sarawak, selain memahami keperluan masyarakat secara langsung.
Menurut beliau, AZAM turut memberi perhatian kepada golongan belia serta kerjasama strategik dengan pelbagai agensi bagi memperluas pelaksanaan program pembangunan sosial.
Sesi dialog yang disertai 115 penduduk daripada 15 pintu itu menyentuh pelbagai perkara termasuk pembangunan ekonomi, pendidikan, peluang pekerjaan, kemudahan asas serta penglibatan belia dan wanita.
Antara keperluan yang dikenal pasti ialah latihan keusahawanan dan peningkatan kemahiran digital bagi membantu komuniti meningkatkan keupayaan ekonomi.
Lawatan itu turut mengetengahkan potensi perusahaan komuniti, khususnya penghasilan ragi dan ciping yang telah diusahakan penduduk sejak 2001.
Tuai Rumah William Jugah berkata, perusahaan ragi yang bermula secara kecil-kecilan itu kini berjaya menembusi pasaran beberapa bandar utama di Sarawak termasuk Bintulu, Miri, Sibu dan Kuching, selain dipasarkan ke Semenanjung Malaysia.
Bagaimanapun, usaha mengembangkan perusahaan berkenaan masih berdepan cabaran dari segi pemasaran dan penambahbaikan reka bentuk produk bagi meningkatkan daya saing.
Sehubungan itu, maklum balas yang diperoleh akan dijadikan asas oleh AZAM untuk meneroka peluang kerjasama strategik bersama Bintulu Port dan pihak berkepentingan lain, khususnya dalam membantu pembangunan produk serta memperluas jaringan pasaran komuniti.
Turut hadir Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Tatau, Long Jok.-EDISI UKAS