Infrastruktur, Kemudahan Asas Baram Terus Diberi Keutamaan
MIRI: Pembangunan infrastruktur dan keterhubungan terus diberi keutamaan di Baram bagi meningkatkan akses penduduk kepada kemudahan asas, susulan cabaran geografi dan jaringan pengangkutan di kawasan itu.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pembangunan luar bandar melalui pelbagai dasar, peruntukan dan projek strategik.
“Aspirasi kita adalah jelas, iaitu memastikan setiap rakyat Sarawak menikmati peluang kehidupan yang lebih baik tanpa mengira lokasi tempat tinggal mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA@KKDW) 2026 Peringkat Parlimen Baram di Rumah Sator, Kampung Memaloh, Lubok Nibong pada Rabu.
Menurutnya, keperluan kemudahan asas dan kesejahteraan penduduk di Poyut Lubok Nibong khususnya perlu terus diberi perhatian menerusi kerjasama serta penyelarasan antara agensi kerajaan berkaitan.
Sehubungan itu, beliau menyeru ketua masyarakat dan tuai rumah supaya memainkan peranan sebagai rakan strategik kerajaan dalam mengenal pasti keperluan penduduk serta memastikan program pembangunan sampai kepada golongan sasar.
Dalam masa sama, Datuk Gerawat berharap program anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Marudi itu menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif pembangunan di peringkat kampung.
Katanya, GEMA@KKDW juga perlu dimanfaatkan penduduk untuk mendapatkan maklumat mengenai bantuan kerajaan, latihan keusahawanan, peluang pembiayaan dan program peningkatan kemahiran.
“Dapatkan maklumat, bertanya kepada pegawai yang hadir, kenal pasti peluang yang boleh dimanfaatkan dan bina hubungan kerjasama dengan agensi kerajaan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KEMAS Daerah Marudi atas penganjuran program itu serta Tuai Rumah Sator dan penduduk atas kerjasama dan sambutan baik yang diberikan.- EDISI UKAS