PRN Sarawak: Kepantasan Laporan Perlu Seiring Ketepatan Fakta
MIRI: Kepantasan menyampaikan berita perlu seiring dengan ketepatan fakta dalam liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bagi memastikan masyarakat menerima maklumat yang sahih.
Ketua Wartawan The Borneo Post Miri, Philip Kiew Hieng Siong, menegaskan setiap laporan berita perlu disemak dengan sumber sahih sebelum disiarkan.
“Dalam bidang kita ini tidak boleh terlampau laju. Semak silang fakta, guna sumber sahih,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa perkongsian pengalaman liputan Pilihan Raya Negeri Sarawak terdahulu serta pengajaran dan penambahbaikan pada Bengkel NEWS360: Seni Penulisan Berita dan Laporan Khas untuk TV, Radio dan Digital 2026 bagi Zon Utara pada Rabu.
Dalam pada itu, Philip mengingatkan pengamal media supaya mengutamakan keselamatan ketika membuat liputan, terutama apabila berdepan risiko perjalanan, cuaca buruk atau keadaan tegang di lokasi.
“Tiada berita yang berbaloi untuk mempertaruhkan nyawa anda. Nyawa anda lebih bernilai,” katanya.
Sementara itu, bengkel selama dua hari ini berkenaan menghimpunkan 55 pengamal media dari Zon Utara Sarawak terdiri daripada wartawan, jurugambar, juruvideo serta wakil pelbagai jabatan, agensi awam, persatuan dan organisasi media.
Selain Philip, bengkel itu menampilkan Profesor Madya Dr. Nik Adzrieman Abdul Rahman dan Profesor Madya Dr. Bahtiar Mohamad sebagai penceramah, dengan pengisian turut disampaikan Timbalan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Mohamed Faizal Shah Ali dan Penolong Pengarah UKAS, Yushairi Raduan.
Sekretariat bengkel, Wilma Stanley Geramong berkata, bengkel anjuran UKAS itu menggabungkan asas penulisan dengan latihan praktikal temu bual, pengesahan fakta dan penyuntingan berita.
Katanya, peserta turut menghasilkan artikel ringkas dan rencana mengenai isu komuniti tempatan sebagai asas penerbitan dan perkongsian maklumat kepada masyarakat.
Program merangkumi latihan penulisan, temu bual, pengesahan fakta dan penyuntingan berita itu merupakan siri ketiga selepas Sibu pada 6 dan 7 November serta Kuching pada 9 dan 10 November. -EDISI UKAS