Institusi Keluarga Benteng Utama Tangani Gejala Sosial
BINTULU: Pengukuhan institusi keluarga menerusi komunikasi berkesan, penerapan nilai kasih sayang dan tanggungjawab menjadi antara pendekatan penting dalam membendung peningkatan risiko gejala sosial, khususnya penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, usaha menangani permasalahan sosial memerlukan pendekatan menyeluruh yang menggabungkan pencegahan awal, penguatkuasaan, rawatan, pemulihan serta sokongan komuniti.
Menurut beliau, keperluan memperkukuh pendekatan tersebut semakin penting apabila sebanyak 12,323 tangkapan berkaitan kesalahan dadah direkodkan di Sarawak bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026.
Daripada jumlah itu, sebanyak 9,545 tangkapan melibatkan kategori penagih, diikuti 2,219 kesalahan memiliki dadah dan 559 kesalahan berkaitan bekalan dadah.
“Selain memperkukuh usaha penguatkuasaan, pendekatan pencegahan awal, rawatan, pemulihan dan sokongan komuniti perlu terus dipertingkatkan bagi menangani permasalahan ini secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Kesedaran Isu Sosial Masyarakat 2026, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berkata masyarakat kini turut berdepan pelbagai cabaran sosial lain termasuk masalah kesihatan mental, konflik kekeluargaan, keganasan rumah tangga, gejala sosial dalam kalangan remaja, buli siber serta ancaman keselamatan digital.
Justeru, institusi keluarga perlu terus diperkukuh sebagai benteng awal melalui hubungan kekeluargaan yang erat, komunikasi berkesan serta penerapan nilai murni bagi membentuk masyarakat yang lebih berdaya tahan.
“Usaha menangani isu sosial bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif setiap lapisan masyarakat, termasuk golongan belia, institusi pendidikan dan pengajian tinggi serta organisasi masyarakat,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), Profesor Dr Shahrul Razid Sarbini berkata, pembangunan modal insan perlu bergerak seiring dengan kemajuan ilmu dan teknologi bagi memastikan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.
“Kita boleh membangunkan teknologi pertanian yang hebat, menghasilkan penyelidikan yang berkualiti dan meningkatkan produktiviti makanan.
“Tetapi pada akhirnya, semua kemajuan ini memerlukan manusia yang sihat pemikirannya, stabil emosinya dan sejahtera kehidupannya,” katanya.-EDISI UKAS