Program Sentuhan Kasih Terus Santuni Golongan Memerlukan
IGAN: Program Sentuhan Kasih yang merupakan antara inisiatif berterusan Pusat Khidmat Jemoreng sepanjang tahun terus dipergiatkan bagi menyantuni golongan masyarakat yang memerlukan, khususnya pesakit terlantar dan individu yang berdepan masalah kesihatan.
Menerusi program berkenaan pada Khamis, seramai 18 penduduk menerima manfaat yang mana enam penerima menerima sumbangan kerusi roda berserta bakul makanan, manakala 12 penerima lagi menerima bakul makanan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr. Juanda Jaya turut menyertai program berkenaan.
Inisiatif itu bukan sekadar menyampaikan bantuan berbentuk keperluan fizikal, malah menjadi manifestasi keprihatinan dan kasih sayang terhadap golongan yang memerlukan perhatian serta sokongan masyarakat.
Lawatan dari rumah ke rumah turut membuka ruang untuk beramah mesra, bertanya khabar dan mendengar sendiri keadaan serta keperluan penerima, sekali gus mengeratkan hubungan antara Pusat Khidmat dengan masyarakat setempat.
Program Sentuhan Kasih diharap dapat diteruskan sebagai platform kebajikan yang mendekatkan Pusat Khidmat dengan masyarakat, selain memastikan golongan kurang bernasib baik, khususnya pesakit terlantar dan mereka yang menghadapi masalah kesihatan, tidak terpinggir daripada perhatian dan pembelaan.-EDISI UKAS