Pelajar Perlu Rebut Peluang Pendidikan, Persiap Diri Hadapi Ekonomi Baharu Sarawak
BETONG: Generasi muda Sarawak perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kepakaran baharu bagi merebut peluang dalam transformasi ekonomi negeri, khususnya dalam sektor tenaga hijau, teknologi dan bidang berasaskan kepakaran tinggi.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, perubahan landskap ekonomi Sarawak memerlukan generasi muda membuat persediaan awal melalui pendidikan serta penguasaan kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan masa hadapan.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak telah menyediakan peluang pendidikan tinggi percuma menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang merangkumi 64 jenis kursus di universiti milik kerajaan Sarawak bagi memudahkan rakyat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Tingkatan Enam dan Apresiasi Pencapaian Cemerlang (APC) Sekolah Menengah Kebangsaan St. Augustine (SEMESTA) Tahun 2026 disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, di Dewan Tan Sri Alfred Jabu, SMK St. Augustine Betong, pada Khamis.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar memanfaatkan peluang berkenaan dengan merancang hala tuju pendidikan dan kerjaya masing-masing, terutama dalam bidang yang mempunyai potensi menyokong pembangunan ekonomi Sarawak.
Selain pencapaian akademik, beliau turut menekankan kepentingan penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin relevan dalam sektor pendidikan dan pekerjaan, sekali gus menuntut pelajar sentiasa meningkatkan pengetahuan serta kemahiran diri.
Beliau berkata, disiplin diri dan motivasi untuk terus belajar juga merupakan elemen penting bagi membantu pelajar mencapai kecemerlangan serta membina masa depan yang lebih baik.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kejayaan anak-anak turut bergantung pada sokongan berterusan ibu bapa melalui bimbingan, dorongan moral dan kasih sayang dalam membentuk sahsiah serta nilai diri yang positif.
Menurut beliau, keputusan peperiksaan dan pencapaian cemerlang yang diraih perlu dijadikan pembakar semangat untuk pelajar terus berusaha mencapai kejayaan lebih tinggi, di samping mengekalkan disiplin dalam setiap aspek kehidupan.-EDISI UKAS