Sejahtera MADANI Salur RM122,500, Manfaatkan 28 Penerima Di Sri Aman
SRI AMAN: Seramai 28 penerima berdaftar dalam sistem eKasih di Bahagian Sri Aman menerima bantuan keseluruhan berjumlah RM122,500 menerusi Program Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) bagi meningkatkan pendapatan dan meringankan beban kehidupan golongan berpendapatan rendah.
Program anjuran Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Sarawak itu menyaksikan penyaluran RM105,000 bagi bantuan peningkatan pendapatan kepada 21 penerima, manakala RM17,500 diperuntukkan bagi bantuan kebajikan kepada tujuh penerima.
Bantuan peningkatan pendapatan melibatkan penyerahan motosikal secara sekali beri kepada penerima dari daerah Sri Aman, Lingga, Lubok Antu, Pusa dan Meradong bagi menyokong aktiviti ekonomi serta meningkatkan keupayaan mereka menjana pendapatan.
Sementara itu, bantuan kebajikan berupa peralatan dan kelengkapan asas rumah disalurkan kepada penerima dari daerah Sri Aman, Pantu dan Lubok Antu bagi membantu meningkatkan keselesaan kehidupan seharian.
Majlis penyerahan bantuan berkenaan disempurnakan Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh di Dewan Suarah Sri Aman pada Jumaat.
Selain bantuan tersebut, ICU JPM Sarawak menerusi Zon Sri Aman turut melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan ekonomi komuniti eKasih, termasuk penyaluran peralatan pembuatan kuih-muih, jahitan, bengkel, perikanan dan mesin rumput kepada 65 penerima dengan nilai keseluruhan RM325,000.
Dalam usaha memperkukuh kemahiran dan keupayaan menjana pendapatan, seramai 28 peserta terdiri daripada ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) turut mengikuti Kursus Kemahiran Pengendalian Sistem Siar Raya dan Modul Pemasaran Media Sosial.
Program latihan tersebut melibatkan peruntukan RM140,000 menerusi geran Sejati MADANI Perkhidmatan (Sewaan Siar Raya).
Pelaksanaan inisiatif berkenaan mencerminkan pendekatan bantuan bersasar yang bukan sahaja memenuhi keperluan asas penerima, malah menyediakan peralatan dan kemahiran bagi membolehkan mereka membina sumber pendapatan lebih mampan.
Usaha itu juga selaras dengan matlamat Sejahtera MADANI untuk memperkasa ekonomi isi rumah berpendapatan rendah, meningkatkan taraf hidup serta membantu komuniti eKasih keluar daripada kemiskinan.
Turut hadir Timbalan Pengarah ICU JPM Sarawak, Aziba Rashidi, Pegawai Pembangunan Zon ICU JPM Sarawak (Sri Aman), Radiah Muhamad, Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang, wakil Pejabat Daerah Meradong, Wee Teck Min, Pemangku Pegawai Daerah Lingga, Josephson Louis Nako, wakil Pejabat Daerah Pantu dan Pusa serta wakil Parlimen Batang Lupar, Sri Aman dan Lubok Antu.-EDISI UKAS