80 Wanita Luar Bandar Diperkasa, 400 Lagi Berpotensi Terima Manfaat
KOTA SAMARAHAN: Seramai 80 wanita dari empat daerah di Bahagian Samarahan menyertai Program Eksekutif Transformasi dan Pemerkasaan Wanita Negeri Sarawak 2026, dengan potensi memperluas manfaat latihan kepada 400 wanita lain di kawasan luar bandar.
Program anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kerjasama Institut Kemajuan Desa (INFRA) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu melibatkan peserta dari daerah Samarahan, Simunjan, Asajaya dan Gedong.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, program berkenaan bukan sekadar meningkatkan kemahiran dan kepimpinan peserta, malah bertujuan melahirkan wanita yang mampu berkongsi ilmu serta membimbing komuniti masing-masing.
Menurut beliau, sekiranya setiap peserta membimbing lima wanita lain selepas mengikuti latihan, seramai 400 wanita tambahan berpotensi menerima manfaat secara tidak langsung.
“Desa ialah DNA kita,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di INFRA Cawangan Sarawak, di sini pada Jumaat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berkata, wanita luar bandar perlu diberi peluang dan keyakinan untuk memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan ekonomi keluarga serta kesejahteraan komuniti.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan peserta memanfaatkan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) untuk memasarkan produk, memperluas jaringan pelanggan serta menjana pendapatan tanpa perlu meninggalkan rumah.
Pada masa sama, beliau mengingatkan peserta supaya sentiasa berwaspada terhadap ancaman penipuan dalam talian dengan memastikan kesahihan pautan dan transaksi digital sebelum membuat sebarang pembayaran.
Program di Sarawak merupakan siri keempat selepas penganjuran di Alor Setar, Johor Bahru dan Ipoh yang menghimpunkan 240 peserta.
Dengan penyertaan 80 wanita di Sarawak, jumlah keseluruhan peserta kini meningkat kepada 320 orang menerusi empat siri penganjuran.
Inisiatif berkenaan selaras dengan Teras 6 Dasar Pembangunan Luar Bandar, iaitu Wanita Luar Bandar yang Progresif, serta Inisiatif 3.2 di bawah Kluster 2 Modal Insan Pelan Strategik KKDW 2026–2030.-EDISI UKAS