Forum Perdana Perkukuh Hubungan Tentera & Masyarakat
KOTA SAMARAHAN: Seramai 300 peserta menghadiri Forum Perdana bertemakan “Satu Nadi Satu Jiwa: Tentera dan Masyarakat Berpisah Tiada” sempena Karnival Mini CIMIC PSPN x Rasa Fest di pekarangan Stadium Samarahan, pada Jumaat.
Program berkenaan menjadi platform memperkukuh hubungan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan masyarakat, selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kerjasama dalam memelihara keselamatan, perpaduan dan keharmonian negara.
Forum itu turut mengetengahkan peranan ATM bukan sahaja sebagai benteng pertahanan negara, malah sebagai rakan strategik masyarakat dalam melaksanakan pelbagai inisiatif kesejahteraan komuniti.
Perbincangan menampilkan Kolonel Ahmad Shukri Hashim dari Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD) dan Pegawai Agama Islam Bahagian Serian, Ustaz Madihi Ismail sebagai ahli panel.
Sementara itu, Pegawai Agama 1 Rejimen Kor Polis Tentera Diraja (KPTD), Mejar Khairul Alimin Nordin bertindak sebagai moderator.
Menerusi pendekatan Kerjasama Awam-Tentera atau Civil-Military Cooperation (CIMIC), hubungan antara anggota tentera dengan komuniti terus diperkukuh melalui program kemasyarakatan, perkongsian ilmu dan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Penganjuran forum itu turut menyemai semangat kebersamaan dan saling mempercayai, selaras dengan mesej bahawa keselamatan serta kesejahteraan negara merupakan tanggungjawab bersama.
Hadir sama, Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Dato Mohd Sobirin Mohd Yusof, Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat dan Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak.-EDISI UKAS