Dua Projek Infrastruktur RTP Mambong Bernilai RM400,000 Siap
PADAWAN: Dua projek pembangunan infrastruktur di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong bernilai keseluruhan RM400,000 telah siap dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur dan keselamatan penduduk setempat.
Projek berkenaan merangkumi Naik Taraf Sistem Perparitan Lorong 3, Kampung Braang Payang dengan peruntukan RM100,000 serta Baik Pulih Tebingan Sungai Lorong 1 dan 1A, Kampung Bangau sepanjang 108 meter dengan peruntukan RM300,000.
Dalam sesi penyerahan sijil siap projek yang berlangsung pada Jumaat, Sekirik Enterprise menyerahkan sijil siap projek naik taraf sistem perparitan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Braang Payang melalui Ketua Kaum, James Hook.
Manakala, Wak Mann Enterprise menyerahkan sijil siap projek baik pulih tebingan sungai kepada JKKK Kampung Bangau melalui Ketua Kaum, Harry Simak.
Penyerahan sijil tersebut menandakan kedua-dua projek telah disiapkan mengikut spesifikasi dan keperluan teknikal yang ditetapkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) selaku agensi pelaksana.
Turut hadir ialah Pegawai Tadbir Khas kepada Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil, Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Kuching, Felicia, ketua kaum kampung terlibat serta wakil kontraktor pelaksana.-EDISI UKAS