Kesiapsiagaan Suruhanjaya Pilihan Raya Menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13: Logistik, Petugas dan Integriti Pilihan Raya
Pengenalan
Persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri kali ke-13 (PRN13) merangkumi penetapan tarikh penamaan calon, tempoh berkempen dan hari pengundian.
Ia juga merupakan satu ujian besar terhadap keupayaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia menyelaras keseluruhan jentera pilihan raya supaya setiap proses berlangsung secara teratur, cekap, telus, dan boleh dipercayai.
Bagi Sarawak, cabaran ini mempunyai dimensi tersendiri. Faktor keluasan geografi, kawasan pedalaman, penempatan yang berselerak serta kebergantungan kepada pengangkutan sungai, udara dan jalan balak menjadikan pengurusan logistik pilihan raya lebih kompleks berbanding kawasan bandar.
Oleh itu, kesiapsiagaan SPR perlu dilihat melalui tiga aspek: kecekapan logistik, kompetensi petugas dan integriti pilihan raya. Ketiga-tiganya saling berkait dalam memastikan hak setiap pengundi dapat dilaksanakan tanpa halangan yang tidak munasabah.
Persediaan peralatan dan pengurusan logistik
Aspek logistik merupakan antara komponen paling penting dalam persediaan PRN13. SPR perlu memastikan semua peralatan pilihan raya mencukupi, berada dalam keadaan baik dan sampai ke lokasi yang ditetapkan sebelum hari pengundian.
Antara keperluan utama termasuk:
Peralatan pengundian: peti undi, kertas undi, dakwat pilihan raya, senarai daftar pemilih, alat tulis dan dokumen rasmi;
Peralatan pengurusan: komputer, pencetak, peralatan komunikasi serta sistem penyelarasan keputusan;
Pengangkutan: kenderaan pacuan empat roda, bot, pengangkutan sungai dan kemudahan penerbangan bagi kawasan pedalaman;
Pusat operasi: bilik Gerakan, pusat penjumlahan undi, tempat penyimpanan peralatan dan kemudahan petugas;
Pelan kecemasan: persediaan menghadapi hujan lebat, banjir, gangguan komunikasi, kerosakan kenderaan dan perubahan keadaan laluan.
Bagi kawasan seperti Kapit, Belaga, Baram, Ba’kelalan dan kawasan pedalaman lain, penghantaran peralatan memerlukan perancangan lebih awal. SPR perlu menyelaras pergerakan logistik dengan agensi keselamatan, pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat.
Persediaan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada jumlah perlatan, tetapi turut merangkumi penyimpanan yang selamat, rekod serahan, kawalan akses dan rantaian penjagaan peti undi supaya integriti bahan pilihan raya sentiasa terpelihara.
Pengenalpastian pusat mengundi dan kesiapsiagaan petugas
Pengenalpastian pusat mengundi perlu mengambil kira taburan pengundi, kapasiti bangunan, kemudahan asas, akses jalan raya dan kesesuaian lokasi.
SPR perlu meneliti beberapa perkara:
Memastikan pusat mengundi mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk menampung jumlah pengundi;
Menyusun bilangan saluran mengundi berdasarkan daftar pemilih;
Memastikan kemudahan untuk warga emas, orang kurang Upaya dan pengundi yang memerlukan bantuan;
Mengenal pasti pusat alternatif sekiranya lokasi asal terjejas akibat bencana atau masalah akses;
Menyediakan papan tanda, petunjuk arah dan maklumat lokasi yang mudah difahami.
Di Sarawak, pengenalpastian pusat mengundi mempunyai kepentingan khusus kerana sesetengah komuniti perlu menempuh perjalanan jauh melalui sungai atau laluan pedalaman.
Kemudahan pengangkutan dan penyampaian maklumat kepada pengundi perlu diberikan perhatian sewajarnya.
Latihan petugas pula perlu menjadi keutamaan, Akademi Pilihan Raya SPR menyediakan latihan untuk Pegawai Pengurus, Penolong Pegawai Pengurus, Ketua Tempat Mengundi, Kerani Pengundian dan Mengira Undi, Penyelia Pusat Mengundi serta petugas lain.
Latihan turut melibatkan agensi keselamatan, media dan pihak berkepentingan pilihan raya.
Petugas bukan sahaja perlu memahami prosedur pengundian dan pengiraan undi, malah mesti bersedia menghadapi situasi luar jangka seperti pertikaian prosedur, kesesakan pengundi, gangguan sistem dan keperluan pengiraan semula.
Teknologi OCR-VA: Pendigitalan pengurusan kehadiran pengundi
Satu perkembangan penting dalam persediaan pilihan raya ialah cadangan penggunaan teknologi Optical Character Recognition – Voters Attendance (OCR-VA).
Teknologi ini bertujuan memodenkan proses merekod kehadiran pengundi yang sebelum ini banyak bergantung kepada kaedah manual.
Melalui OCR-VA, maklumat berkaitan kehadiran boleh dibaca dan direkodkan secara digital, sekali gus membolehkan pemantauan data kehadiran secara masa nyata.
Menurut laporan Bernama pada 24 Oktober 2026, Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus menjelaskan bahawa teknologi ini berpotensi mengurangkan kos operasi dan menjimatkan masa, selain menangani cabaran mendapatkan petugas pilihan raya.
Walau bagaimanapun, penggunaan teknologi ini memerlukan penelitian menyeluruh oleh ahli-ahli SPR sebelum sebarang peluasan pelaksanaan. Penilaian perlu merangkumi:
Ketepatan pembacaan maklumat kad pengenalan;
Keselamatan siber dan perlindungan data peribadi;
Keupayaan sistem beroperasi tanpa gangguan internet;
Keserasian peralatan dengan keadaan pusat mengundi luar bandar;
Prosedur manual sebagai langkah sandaran; dan
Ketelusan audit dan pengesahan rekod sekiranya berlaku pertikaian.
Dalam konteks Sarawak, sistem digital perlu diuji dalam keadaan sebenar termasuk kawasan yang mempunyai capaian internet terhad. Pendigitalan tidak boleh menjadi faktor yang menyukarkan pengundi atau menjejaskan hak mereka untuk mengundi.
Setakat maklumat yang dilaporkan pada 24 Oktober 2026, OCR- VA masih dalam peringkat projek rintis. Sistem tersebut telah diuji di sebuah pusat mengundi di Negeri Sembilan dan dirancang untuk diperluas dalam PRN Melaka menggunakan pendekatan dua sistem, iaitu digital dan manual.
Oleh itu, penggunaannya dalam PRN13 Sarawak tidak wajar dianggap telah dimuktamadkan.
Kekuatan petugas keselamatan dan penyelarasan agensi
SPR memerlukan kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, agensi pengurusan bencana serta pihak berkuasa tempatan.
Satu perkembangan penting ialah pengumuman bahawa seramai 7,469 pegawai dan anggota polis Sarawak dijangka ditugaskan bagi PRN13. Daripada jumlah itu, kontinjen polis Sarawak turut berdepan kekurangan tenaga kerja sebanyak 889 anggota dan telah memohon bantuan daripada kontinjen lain. (Sumber: Sarawak Tribune).
Perkara ini menunjukkan bahawa penyelarasan sumber manusia perlu dibuat secara menyeluruh, bukan Sahaja untuk mengawal keselamatan pusat mengundi, malah bagi:
Mengawal lalu lintas dan pergerakan orang ramai;
Menjamin keselamatan peti undi serta bahan pilihan raya;
Mengurus kemungkinan ketegangan atau kekecohan;
Mengiringi penghantaran bahan piliihan raya ke kawasan berisiko; dan
Memastikan keselamatan petugas, calon, ejen dan pengundi.
Kesimpulan
PRN13 sebagai proses memilih wakil rakyat dan membentuk Kerajaan Negeri, mencerminkan kematangan institusi demokrasi serta keupayaan pentadbiran pilihan raya dalam memastikan suara rakyat diterjemahkan melalui proses yang sah, bebas dan teratur.
Kesiapsiagaan SPR perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi, peningkatan kecekapan petugas dan pengukuhan integriti institusi. Cadangan penggunaan OCR-VA merupakan satu perkembangan yang menarik, tetapi keberkesanannya perlu dibuktikan melalui penilaian rapi, khususnya dari segi keselamatan data, kebolehpercayaan sistem dan kesesuaian untuk keadaan geografi Sarawak.
Akhirnya, kejayaan PRN13 tidak seharusnya diukur berdasarkan kelancaran hari pengundian semata-mata, sebaliknya perlu dinilai keupayaan memastikan setiap pengundi mendapat akses yang adil, setiap undi dikendalikan dengan penuh amanah dan setiap Keputusan diumumkan melalui proses yang telus serta mematuhi undang-undang.