Sarawak Bebas Rabies Menjelang 2030: Tanggungjawab Bersama dalam Pendidikan, Kesihatan dan Keselamatan Sempadan
Pengenalan
Usaha menjadikan Sarawak bebas rabies menjelang 2030 merupakan aspirasi penting yang menuntut pendekatan bersepadu dan tanggungjawab bersama daripada kerajaan, komuniti, pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi penguatkuasa, sektor swasta serta pemilik haiwan peliharaan.
Rabies bukan sekadar isu kesihatan haiwan, malah merupakan ancaman kesihatan awam dan keselamatan yang memerlukan tindakan menyeluruh berasaskan pendekatan One Health, iaitu hubungan rapat antara kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar.
Pendidikan dan kesedaran awam
Aspek pendidikan dan kesedaran awam menjadi barisan hadapan dalam usaha membendung rabies. Masyarakat perlu memahami bahawa rabies ialah penyakit zoonotic yang boleh membawa maut sekiranya gejala klinikal telah muncul.
Oleh itu, pemilik anjing, khususnya, perlu bertanggungjawab memastikan haiwan peliharaan mereka menerima vaksinasi antirabies mengikut jadual, didaftarkan serta tidak dibiarkan berkeliaran. Sebagai contoh, kawasan bandar Kuching, kerjasama pemilik haiwan, PBT dan komuniti amat penting bagi mengawal populasi anjing terbiar dan mengurangkan risiko penularan.
Salah satu contoh yang menarik tentang kerjasama antara PBT dengan komuniti ialah kerjasama Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dengan Sarawak Society for the Prevention of Cruelty to Animals (SSPCA) melalui program Capture, Neuter, Vaccinate and Return (CNVR) yang menggabungkan kawalan populasi dengan pencegahan rabies secara lebih berperikemanusiaan.
Program vaksinasi besar- besaran pula perlu terus diperkasa, terutama di kawasan yang dikenal pasti mempunyai risiko tinggi.
Pendekatan ini bukan sahaja bergantung kepada operasi kerajaan, tetapi memerlukan penyertaan aktif masyarakat. Pemilik haiwan perlu tampil mendapatkan vaksinasi, manakala komuniti hendaklah segera melaporkan haiwan yang disyaki berpenyakit, kejadian kegigitan atau kehadiran haiwan terbiar yang mencurigakan.
Kesihatan awam
Dari perspektif kesihatan awam, kerjasama antara Jabatan Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dan hospital perlu diperkukuh. Setiap kes gigitan haiwan berpotensi rabies hendaklah ditangani dengan segera melalui penilaian risiko, rawatan pascapendedahan dan pemantauan yang sewajarnya.
Pada masa yang sama, sistem perkongsian maklumat antara sektor kesihatan manusia dan kesihatan haiwan perlu diperkemas supaya pengesanan serta tindak balas terhadap wabak dapat dilakukan dengan lebih pantas.
Pada September 2026, Sarawak melaporkan 3,579 ekor anjing telah divaksin melalui operasi lapangan, di samping 2,281 umpan vaksin rabies oral (ORV) diedarkan.
ORV amat berguna sebagai pendekatan “batuan terakhir” untuk anjing berkeliaran yang sukar ditangkap dan diberikan vaksin secara suntikan biasa.
Ini menjadikan teknologi tersebut penting terutama di kawasan yang mempunyai populasi anjing terbiar atau sukar dikawal.
Keselamatan sempadan
Keselamatan sempadan merupakan satu lagi komponen kritikal. Kedudukan Sarawak yang mempunyai sempadan darat yang panjang dengan Kalimantan menjadikan kawalan pergerakan haiwan antara wilayah amat penting.
Penguatkuasaan dipintu masuk negeri perlu dipertingkat melalui pemeriksaan, pemantauan pergerakan haiwan dan tindakan undang-undang terhadap pelanggaran peraturan.
Keperluan tenaga kerja, kemudahan pemeriksaan, infrastruktur keselamatan termasuk pagar di lokasi strategik serta peruntukan kewangan yang mencukupi perlu diberi perhatian bagi mengurangkan risiko kemasukan haiwan yang dijangkiti rabies dari luar
Dalam konteks ini, kerjasama rentas agensi dan rentas sempadan menjadi sangat penting. Rabies tidak mengenal sempadan pentadbiran. Justerus, perkongsian data, maklumat epidemiologi dan tindakan bersama dengan pihak berkuasa berkaitan di kawasan sempadan perlu diperkukuh.
Pada 2025, pendekatan Immune Belt Enforcement Teams (IBET) telah mencapai lebih 80% liputan vaksinasi dan Sarawak ketika itu mencatat sifar kes rabies manusia selama dua tahun berturut-turut.
Immune Belt bukan sahaja perlindungan kesihatan, tetapi juga satu bentuk pertahanan biologi terhadap ancaman penyakit merentasi sempadan.
Berdasarkan rekod rasmi, 32 pasukan IBET telah ditubuhkan pada 2020 di enam bahagian yang berdekatan dengan sempadan, meliputi bahagian Kuching, Serian, Sri Aman, Kapit, Miri dan Limbang.
Penyelidikan dan inovasi
Dimensi penyelidikan dan inovasi turut memainkan peranan penting. Sarawak Infectious Disease Centre (SIDC) menjadi salah satu komponen penting dalam memperkukuh kapasiti negeri dalam pemantauan dan penyelidikan penyakit berjangkit.
SIDC mula beroperasi sebagai organisasi penyelidikan pada Februari 2024 dan bakal dilancarkan pada suku ketiga 2027.
Bangungan fizikal di Samarahan sedang dibangunkan sebagai pusat penyelidikan One Health. Penyelidikannya merangkumi penyakit seperti tuberculosis (TB), malaria, denggi, African Swine Fever, rabies, filariasis dan penyakit parasit bawaan tanah.
Penyelidikan rabies, termasuk pendekatan vaksinasi oral rabies serta penggunaan teknologi seperti pelet berpenjejak, berpotensi memperluas kaedah intervensi khususnya terhadap populasi anjing yang sukar ditangkap atau divaksin secara konvensional.
Aspirasi bebas rabies juga tidak akan tercapai hanya melalui tindakan kerajaan. Komuniti merupakan rakan strategik. Setiap rakyat boleh memainkan peranan penting dengan memastikan haiwan peliharaan divaksin, mengelakkan sentuhan dengan haiwan liar atau terbiar, mendapatkan rawatan segera selepas digigit dan melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.
Kesedaran bahawa tindakan seseorang boleh melindungi seluruh komuniti perlu menjadi sebahagian daripada budaya pencegahan.
Kesimpulan
Pada akhirnya, kejayaan Sarawak mencapai status bebas rabies menjelang 2030 bukan sekadar pencapaian sektor veterinary atau kesihatan. Ia merupakan ukuran keupayaan negeri menggembleng seluruh ekosistem pentadbiran dan masyarakat untuk melindungi nyawa, menjamin keselamatan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Pendekatan One Health memberikan kerangka yang sesuai kerana ia mengiktiraf bahawa kesihatan manusia, haiwan dan persekitaran saling berkaitan.
Selaras dengan aspirasi PCDS 2030, usaha membasmi rabies perlu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda membina Sarawak yang lebih selamat, sihat, berdaya tahan dan berkualiti hidup tinggi.
Dengan pendidikan yang berterusan, vaksinasi yang meluas, sistem kesihatan yang responsif, penyelidikan yang inovatif, kawalan sempadan berkesan dan penyertaan komuniti yang kukuh, sasaran Sarawak bebas rabies menjelang 2030 boleh menjadi tanggungjawab bersama yang diterjemahkan kepada tindakan nyata.