Blockchain Bantu Pengusaha Tempatan Buktikan Nilai Produk
KUCHING: Penggunaan teknologi blockchain dalam rantaian bekalan boleh membantu pengusaha tempatan membuktikan asal usul dan kualiti produk mereka.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, teknologi itu boleh dimanfaatkan petani, pekebun kecil dan koperasi untuk menyediakan rekod pengesahan produk yang lebih telus dan boleh dijejaki.
Menurutnya, pendekatan itu relevan kepada produk seperti lada Sarawak, beras tanah tinggi, hasil perikanan dan kraftangan masyarakat peribumi yang mempunyai potensi pasaran lebih luas.
“Ini akan meningkatkan keyakinan pasaran, memperluas akses kepada pasaran antarabangsa serta membolehkan pengeluar tempatan memperoleh pulangan yang lebih adil,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian ‘Borneo Blockchain Conference’ (BBCON) 2026, di sini pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan penerokaan pensijilan halal berasaskan blockchain bagi memudahkan pengesahan produk merentasi sempadan, khususnya dalam rantau BIMP-EAGA, sekali gus membuka peluang perdagangan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Selain sektor pengeluaran, Datuk Abdullah berkata teknologi itu boleh digunakan dalam pentadbiran kerajaan bagi mengurus rekod hak milik tanah, identiti digital dan transaksi awam dengan mengurangkan risiko manipulasi serta penipuan.
“Blockchain tidak secara automatik menjadikan setiap maklumat benar namun, teknologi ini membantu memastikan rekod boleh dijejaki dan tidak diubah secara tidak wajar,” katanya lagi.
Dalam bidang pendidikan, beliau menjelaskan teknologi itu juga boleh digunakan untuk pengesahan kelayakan akademik, pemindahan kredit dan pengurusan biasiswa, selain melindungi maklumat peribadi pelajar serta hasil penyelidikan.
Sementara itu, penerokaan tokenisasi aset dunia sebenar dan kerangka aset digital patuh Syariah yang dikawal selia dengan baik turut dikenal pasti sebagai peluang baharu untuk membiayai perusahaan tempatan, pembangunan infrastruktur dan projek kelestarian. -EDISI UKAS