Sarawak Mahu Lahirkan Pemilik Teknologi, Bukan Sekadar Pengguna
KUCHING: Sarawak perlu membina keupayaan menghasilkan dan memiliki teknologi sendiri, termasuk harta intelek, bagi memastikan negeri ini turut mendapat manfaat daripada nilai ekonomi yang terhasil daripada perkembangan teknologi global.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, keupayaan sesebuah negara atau wilayah dalam teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan blockchain tidak seharusnya dinilai berdasarkan tahap penggunaannya semata-mata.
Sebaliknya, katanya, Sarawak perlu mempunyai kepakaran untuk membangunkan penyelesaian sendiri, melahirkan inovator tempatan serta menghasilkan teknologi yang boleh dimiliki dan dikomersialkan.
“Negara membangun tidak seharusnya dipaksa memilih antara kuasa besar dunia sebaliknya, kita perlu mengekalkan hubungan antarabangsa yang konstruktif sambil membangunkan keupayaan teknologi, kebebasan strategik dan daya tahan ekonomi sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian ‘Borneo Blockchain Conference’ (BBCON) 2026, di sini pada Rabu.
Mengulas potensi blockchain, Datuk Abdullah berkata teknologi itu mampu membuka ruang kepada penggunaan lebih meluas dalam transaksi kewangan, perdagangan rentas sempadan, pemilikan digital dan pengurusan rantaian bekalan.
Justeru, katanya, pembangunan ekosistem blockchain di Sarawak perlu disertai usaha melahirkan tenaga mahir yang mampu membangunkan aplikasi serta penyelesaian berdasarkan keperluan tempatan.
“Matlamat kita mestilah membangunkan keupayaan, bakat dan ekosistem untuk mencipta serta membentuk teknologi masa hadapan.
“Jangan sekadar menjadi pemerhati dalam revolusi digital global di mana kita mesti menjadi peserta aktif, inovator dan penyumbang kepada pembentukan masa depan digital,” katanya lagi. -EDISI UKAS