Liga Jelajah Tarian Singa Tradisional Sarawak Martabat Warisan Budaya
SARIKEI: Penganjuran Liga Jelajah Tarian Singa Tradisional Peringkat Sarawak Ke-3 menjadi platform penting dalam memartabatkan seni warisan tradisional selain menggalakkan penglibatan generasi muda dalam usaha memastikan seni budaya berkenaan terus dipelihara.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, komitmen setiap peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu amat penting bagi memastikan seni tarian singa terus diwarisi oleh generasi akan datang.
Menurut beliau, setiap persembahan tarian singa yang menarik merupakan hasil bimbingan jurulatih, keserasian dan kepercayaan antara anggota pasukan serta komitmen tinggi menerusi latihan dan pengorbanan berterusan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Liga Jelajah Tarian Singa Tradisional Peringkat Sarawak Ke-3 di Stadium Bola Keranjang Susur Jambu, di sini, baru-baru ini.
Beliau turut memuji pihak penganjur atas usaha menganjurkan pertandingan berkenaan yang bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat menyaksikan persembahan tarian singa secara dekat, malah meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memelihara seni budaya tradisional.
Katanya, program seumpama itu wajar diteruskan dan diperluaskan bagi menarik lebih ramai golongan muda mendekati seni tarian singa serta melibatkan diri secara aktif dalam usaha mengekalkan warisan tersebut.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus menyokong pelaksanaan program berkaitan pembangunan budaya dan belia demi kepentingan masyarakat setempat.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, atas keprihatinan dan komitmen berterusan dalam memajukan pembangunan budaya masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Menurutnya, kepelbagaian budaya dan keharmonian antara kaum merupakan khazanah bersama yang perlu dipelihara, manakala sokongan kerajaan terhadap aktiviti kebudayaan di peringkat komuniti penting bagi memastikan seni tradisional terus dihargai dan diwarisi.
Majlis anjuran Persatuan Buddha Orthodox Sarikei itu turut dihadiri Pengerusi Pengelola Andy Lau Pengerusi Persatuan Buddha Orthodox Sarikei Pemanca Chan Phan Chan Temenggong Lau Hieng Ping dan Pengerusi Majlis Daerah Sarikei, Kr Stephen Wong Kie Yong.- EDISI UKAS