Sarawak Perlukan 5,000 Jurutera, Anak Tempatan Diberi Keutamaan
KUCHING: Sarawak dianggarkan memerlukan sehingga 5,000 jurutera bagi memenuhi permintaan sektor teknologi yang semakin berkembang susulan kemasukan pelaburan dan pertumbuhan industri baharu di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, anak Sarawak yang mempunyai kelayakan dalam bidang kejuruteraan akan diberi keutamaan untuk mengisi peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang diwujudkan menerusi perkembangan industri berkenaan.
“Anak Sarawak yang mempunyai kelayakan dalam bidang kejuruteraan akan diberi keutamaan untuk mengisi pekerjaan ini.
“Anak-anak muda kita perlu bekerja keras dan belajar bersungguh-sungguh supaya dapat membantu Sarawak,” katanya semasa majlis sambutan Deepavali bertemakan ‘Deepavali, Colour of Sarawak’ di sini, pada Ahad.
Beliau menambah, perkembangan pesat sektor teknologi membuka peluang luas kepada generasi muda untuk membina kerjaya dalam bidang profesional dan teknikal, khususnya kejuruteraan.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan anak muda Sarawak supaya memberikan tumpuan kepada pendidikan serta memperkukuh penguasaan ilmu dan kemahiran yang relevan dengan keperluan industri.
Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan bakat tempatan bagi memastikan rakyat Sarawak bukan sahaja menjadi pemerhati kepada kemajuan ekonomi negeri, malah turut memainkan peranan aktif dan menikmati manfaat daripada pelaburan yang dibawa masuk.
Turut hadir Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Dato Georgina Apphia Ngau, Presiden Persatuan Kuil Sri Maha Mariamman, Dato Shankar Ram Asnani, Pengerusi Sarawak Hindu Coalition Association dan ISKCON, His Grace Krishnarao @ Prabhu, serta Setiausaha Persatuan Kuil Hindu Kuching, Sheela Charlene Nadison.-EDISI UKAS