Sarawak Berpotensi Jadi Hab Industri E-Sukan Serantau
KUCHING: Sarawak berpotensi menjadi antara destinasi pilihan industri e-sukan di rantau ini dengan memanfaatkan kerjasama antarabangsa, pembangunan bakat tempatan serta peluang pelaburan dalam sektor berkenaan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Khairul Nizam Morshidi berkata, Sarawak sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan organisasi antarabangsa bagi meneroka potensi industri e-sukan serta bidang berkaitan.
Menurut beliau, penganjuran Ekspo E-Sukan Sarawak 2026 (SAREX 26) bukan sahaja memberi peluang kepada pemain untuk menunjukkan kebolehan masing-masing, malah menjadi platform untuk menghubungkan Sarawak dengan pemain industri dari peringkat antarabangsa.
“Sarawak sentiasa membuka peluang untuk bekerjasama.
Sekiranya terdapat peluang dalam bidang e-sukan, permainan digital, teknologi, animasi, kandungan digital, pelancongan mahupun industri sukan secara lebih luas, kita mengalu-alukan perbincangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Ekspo E-Sukan Sarawak 2026 (SAREX 26) di sini, pada Ahad.
Jelas beliau, hubungan dan jaringan yang terjalin sepanjang ekspo itu perlu diteruskan agar dapat membuka lebih banyak peluang kepada syarikat serta bakat tempatan untuk menembusi pasaran dan industri global.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang lima kategori pertandingan yang dipertandingkan, iaitu Assetto Corsa, Tekken 8, eFootball, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan PUBG.
Turut hadir, Presiden Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sarawak (SESA), Afiq Fadhli Narawi; Setiausaha Agung International Esports Federation, Boban Totovski; serta Pengurus Kanan (Sarawak dan Sabah), Pejabat Ekonomi Digital Negeri (MDEC), Awang Safri Awang Ahmad.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira Jalil
Foto: Mia Amira Jalil