Kejohanan Bola Sepak Buka Ruang Belia Tempatan Serlah Bakat
PUSA: Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah 2026 menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan belia tempatan, selain membuka peluang kepada pemain mengembangkan potensi dalam sukan bola sepak.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, golongan belia di kawasan berkenaan mempunyai potensi yang perlu terus digilap menerusi latihan dan bimbingan berterusan bagi memberi peluang kepada mereka mewakili Sarawak pada masa hadapan.
Selain mencungkil bakat, penganjuran kejohanan itu turut memberi ruang kepada golongan belia mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dan kesukanan tanpa mengira latar belakang.
“Melalui aktiviti seperti ini, kita dapat bersatu. Di luar padang kita berkawan, tetapi apabila berada di padang, kita menjadi lawan. Namun, semangat kesukanan perlu sentiasa disemai dalam jiwa agar kita terus berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah 2026 di Dataran Temenggung Kadir, Kampung Beladin, pada Ahad.
Menurut Mohamad Shafizan, kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula 13 hingga 15 November itu turut mendapat penyertaan pasukan dari kawasan sekitar termasuk Sebuyau, Saratok, Manggut, Tambak dan Simunjan, selain beberapa kampung di Daerah Pusa.
Beliau turut berharap semua pasukan yang menyertai kejohanan berkenaan terus meningkatkan prestasi serta mengembangkan potensi masing-masing dalam bidang sukan.
Dalam kejohanan itu, Sessang Tigris dari Sessang muncul juara, manakala Combat FC dari Semarang meraih naib juara. Tempat ketiga bersama pula disandang Vet69 dari Beladin dan Ensengei dari Simunjan.-EDISI UKAS