KMKK Diminta Perkukuh Peranan, Pastikan Pentadbiran Komuniti Lebih Berkesan
BETONG: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu memainkan peranan dengan penuh tanggungjawab dalam memastikan pentadbiran masyarakat di peringkat akar umbi berjalan lancar, selain menjaga keselamatan dan kebajikan penduduk setempat.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, KMKK termasuk pemanca, penghulu dan tuai rumah merupakan pemimpin penting yang menjadi penghubung antara kerajaan dengan masyarakat dalam menyampaikan dasar serta melaksanakan agenda pembangunan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Dialog Pemimpin Bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Peringkat Kawasan Layar Ili di Rumah Panjang Melaban, Betong pada Ahad.
Menurutnya, pemanca dan penghulu memainkan peranan penting sebagai platform untuk merancang pembangunan, mengurus hal ehwal komuniti serta melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan, termasuk melalui penglibatan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta biro wanita.
Datuk Gerald menegaskan, undang-undang penting dalam memastikan kehidupan masyarakat dan urusan pentadbiran berjalan teratur kerana tanpa pematuhan terhadap undang-undang, keadaan boleh menjadi tidak terkawal sehingga menjejaskan kelancaran urusan harian.
Sehubungan itu, pemanca dan penghulu perlu memahami serta mematuhi undang-undang dalam melaksanakan tugas, khususnya berkaitan urusan tanah, adat, perkahwinan dan perceraian yang memerlukan nasihat serta panduan mereka kepada masyarakat.
Beliau turut menyentuh aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menyasarkan Sarawak menjadi sebuah wilayah maju menjelang 2030, dengan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan hasil negeri sebagai antara pemacu utama pembangunan.
Menurut beliau, kerajaan Sarawak sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat melalui pelbagai inisiatif, termasuk menyediakan pendidikan tinggi percuma di universiti milik kerajaan negeri kepada anak-anak Sarawak serta menyalurkan bantuan seperti Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyeru masyarakat agar memberikan sokongan kepada kerajaan Sarawak serta memastikan kempen pilihan raya berlangsung dalam suasana harmoni tanpa provokasi yang boleh menjejaskan perpaduan masyarakat.
Sementara itu, Pemanca Masyarakat Iban Daerah Betong, Pemanca Norman Ngumbang menegaskan bahawa setiap KMKK perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan baik, khususnya tuai rumah yang menjadi pemimpin utama di peringkat rumah panjang.
Beliau berkata, tuai rumah perlu memahami bidang tugas dan tanggungjawab mereka serta bersedia menerima aduan dan teguran daripada penduduk sebagai panduan untuk memperbaiki mutu pentadbiran pada masa akan datang.
Justeru, beliau berharap agar tuai rumah dan penduduk rumah panjang terus saling menyokong serta bekerjasama dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing demi memastikan keharmonian dan kesejahteraan komuniti sentiasa terpelihara.
Turut hadir, Pegawai UKAS Bahagian Betong Tony Malang Chabu, Tuai Rumah Panjang Melaban Dilton Fam, Ketua Gereja St. Augustine Betong Rentap Nuang, Mantan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Romeo Christopher Tegong, Penghulu Kawasan Layar Ili Sebastian Randy, Stanley Ejau, Ajang Tibu, Uyok Sunang serta Kaunselor Tebarie Megong.-EDISI UKAS