Anak Luar Bandar Berpotensi Cipta Kejayaan Dalam Sukan
MATU: Anak-anak di kawasan luar bandar mempunyai potensi besar untuk mencapai kejayaan dalam bidang sukan sekiranya diberikan peluang, bimbingan dan sokongan berterusan.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, penganjuran pertandingan sukan seperti ‘Friendship Traditional Archery Challenge’ 2026 mampu menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu, selain memberi ruang kepada peserta mengembangkan kemahiran masing-masing.
Menurutnya, sukan memanah bukan sahaja antara aktiviti yang digalakkan oleh agama, malah dapat membentuk disiplin, kesabaran, ketenangan serta ketajaman fokus dalam kalangan peserta.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pertandingan anjuran SeMMat Archers, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matu, pada Sabtu.
Ahmad Johnie turut menyambut baik penganjuran pertandingan berkenaan yang bukan sahaja membuka peluang kepada peserta mengasah bakat, malah mengeratkan hubungan silaturahim antara komuniti dari kawasan berbeza.
Bertemakan ‘Satu Sasaran, Satu Persahabatan, Satu Semangat’, program berkenaan turut menghimpunkan kira-kira 100 peserta dan pengunjung. -EDISI UKAS