Inisiatif Pembangunan, Kebajikan Terus Beri Manfaat Kepada Penduduk Bawang Assan
SIBU: Pelbagai inisiatif pembangunan dan kebajikan terus diberi perhatian bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan, termasuk aspek bekalan air, pendidikan dan bantuan kepada golongan memerlukan.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Joshua Ting Fu Ying berkata, pelaksanaan projek Loji Rawatan Air Akut Sungai Sadit merupakan antara usaha menangani masalah bekalan air yang telah sekian lama dihadapi penduduk di kawasan berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jalinan Mesra Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak bersama Komuniti Bukit Besai di Rumah Milli Nelson, Jalan Bawang Assan, di sini, pada Ahad.
Selain pembangunan infrastruktur, beliau turut menyentuh pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang memberi peluang kepada anak Sarawak yang layak melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi tanpa perlu menanggung yuran pengajian.
Menurutnya, inisiatif itu dapat membantu mengurangkan beban kewangan keluarga, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk melanjutkan pendidikan.
Beliau turut menyentuh pelaksanaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang menyediakan bantuan kepada golongan memerlukan bagi membantu memenuhi keperluan harian mereka.
Beliau berharap pelbagai usaha pembangunan dan inisiatif kebajikan berkenaan dapat diteruskan bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk serta memacu kemajuan kawasan Bawang Assan.-EDISI UKAS