Potato Living Tumpaskan Siburan, Rangkul Piala Datuk Dr Jerip Susil
SIBURAN: Pasukan Potato Living dari Serian muncul juara Kejohanan Bola Keranjang Piala Datuk Dr Jerip Susil Edisi 2026 selepas menewaskan pasukan tuan rumah, Siburan dengan keputusan tipis 67-65 dalam aksi final di Gelanggang Bola Keranjang Siburan pada Ahad.
Kemenangan dengan kelebihan dua mata itu memperlihatkan persaingan sengit antara kedua-dua pasukan, sekali gus mencerminkan semangat kesukanan dan komitmen tinggi para pemain.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil berkata, penganjuran kejohanan seumpama itu bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat baharu dalam sukan bola keranjang, malah menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan masyarakat di peringkat akar umbi.
Dalam pada itu, beliau turut memuji komitmen Kelab Bola Keranjang Siburan dalam mengurus, menyelenggara dan menambah baik kemudahan gelanggang berkenaan untuk manfaat komuniti setempat.
“Pengurusan yang dilaksanakan oleh Kelab Bola Keranjang Siburan merupakan satu contoh yang baik dan wajar dijadikan teladan dalam pengurusan kemudahan serta bangunan milik pihak majlis pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis penutupan kejohanan anjuran Kelab Bola Keranjang Siburan bersempena Karnival Jom Bersukan, di sini.
Menurut beliau, gelanggang berkenaan dibina pada 2016 dengan peruntukan RM500,000 bagi pembinaan struktur asas sebelum kemudahannya ditambah baik secara berperingkat menerusi inisiatif pihak kelab.
Kejohanan yang menyaksikan penyertaan tujuh pasukan itu turut menyaksikan Fairyland dari Beratok menduduki tempat ketiga, manakala Siburan Hammer di tempat keempat. –EDISI UKAS