Pesta Jom Berami Sebuyo 2026 Tarik Lebih 1,000 Pengunjung
SEBUYAU: Lebih 1,000 pengunjung memeriahkan Pesta Jom Berami Sebuyo 2026 di Dewan Pembangunan Sebuyau yang menjadi wadah memperkukuh hubungan komuniti serta merancakkan kegiatan ekonomi, kebudayaan dan sukan rakyat.
Pesta anjuran Jawatankuasa Induk Jom Berami Sebuyo yang berlangsung selama empat hari dari 12 hingga 15 November itu turut membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan masing-masing.
Selain aktiviti jualan, pesta berkenaan turut menampilkan pameran perkhidmatan agensi kerajaan, sukan rakyat serta pertandingan kebudayaan yang melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
Kepelbagaian pengisian tersebut bukan sahaja menceriakan suasana pesta, malah menjadi platform mempererat hubungan antara penduduk, usahawan tempatan dan agensi kerajaan.
Majlis penutupan yang berlangsung pada Ahad turut diserikan dengan persembahan pentas rakyat menampilkan penyanyi Dato Ameng Spring serta artis tempatan, Lucy M dan Zah Amirul.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Sebuyau merangkap Pengerusi Pengelola Jawatankuasa Induk Pesta Jom Berami Sebuyo 2026, Ayuadiman Bujang, Penolong Pegawai Daerah Sebuyau, Louis Andria Barieng, barisan kaunselor serta ahli jawatankuasa penganjur. –EDISI UKAS