Peluasan Hospital Bintulu Perlu Seiring Pengukuhan Rawatan Khusus, Kesihatan Digital
BINTULU: Cadangan peluasan Hospital Bintulu dengan tambahan 500 katil perlu disertai penyediaan kemudahan rawatan khusus dan perancangan perkhidmatan kesihatan yang lebih menyeluruh bagi memenuhi peningkatan keperluan penduduk.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, kemudahan seperti perkhidmatan hemodialisis, rawatan buah pinggang dan unit rawatan kebakaran perlu dikenal pasti sejak peringkat perancangan supaya keperluan pesakit tidak terpinggir dalam pembangunan hospital berkenaan.
“Jangan tunggu sehingga sesuatu masalah berlaku, baru kita bertindak. Saya mahu pihak hospital mengenal pasti keperluan ini lebih awal.”
“Jika terdapat kesukaran untuk mengemukakannya, maklumkan kepada saya dan saya akan membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan Kesihatan Bahagian Bintulu 2026 di sebuah hotel termuka, pada Ahad.
Menurutnya, pihak pengurusan Hospital Bintulu perlu bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengenal pasti sebarang kekurangan dalam cadangan pembangunan sebelum tindakan lanjut diambil.
Selain memperkukuh kemudahan hospital, Dato Sri Tiong turut menekankan keperluan memperluas perkhidmatan kesihatan ke kawasan luar bandar, khususnya bagi memudahkan penduduk pedalaman dan rumah panjang mendapatkan rawatan.
Beliau berpandangan pasukan kesihatan perlu mengambil pendekatan turun padang dengan memberikan perkhidmatan secara langsung kepada penduduk di kawasan pedalaman, termasuk melalui lawatan dari satu rumah panjang ke rumah panjang yang lain.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu, Datuk Dr Melvin Chung Hsien Liang berkata, usaha memperkukuh perkhidmatan kesihatan luar bandar turut dilaksanakan melalui penggunaan teknologi dan pendekatan rawatan yang lebih dekat dengan komuniti.
Menurutnya, kerjasama dengan Press Metal membolehkan penggunaan peralatan sinar-X mudah alih berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi memperluas saringan tuberkulosis (TB) di kawasan pedalaman.
Sejak 2024, lebih 6,400 orang telah menjalani saringan dan sebanyak 62 kes TB berjaya dikenal pasti lebih awal.
Beliau berkata, Klinik Kesihatan Sungai Asap yang menggunakan konsep hospital kecil turut membantu mendekatkan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat luar bandar melalui pemerhatian, diagnosis dan rawatan tanpa memerlukan pesakit melakukan perjalanan jauh ke bandar.
Bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan pada masa hadapan, pihaknya menyasarkan pembangunan sistem kesihatan digital yang menghubungkan klinik luar bandar dengan pusat rujukan utama bagi memudahkan perkongsian rekod serta maklumat pesakit.
Dr Melvin berkata, visi bagi tempoh lima tahun akan datang adalah untuk membangunkan sistem kesihatan digital yang meliputi kawasan bandar dan seluruh kawasan luar bandar di Bintulu.
Dalam perkembangan berkaitan, Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu menerima Anugerah Pejabat Kesihatan Bahagian Terbaik Peringkat Kebangsaan 2026, manakala Hospital Bintulu tersenarai dalam senarai World’s Best Hospitals oleh Newsweek bagi dua tahun berturut-turut, iaitu 2025 dan 2026.-EDISI UKAS