MIRI: Generasi muda memainkan peranan penting dalam memastikan warisan budaya masyarakat Kayan terus terpelihara, diamalkan dan diwariskan agar tidak ditelan arus pemodenan.
Ahli Dewan Negara, Senator Michael Mujah Lihan berkata, kemajuan teknologi dan perubahan gaya hidup tidak seharusnya menyebabkan masyarakat melupakan asal usul, sebaliknya warisan budaya perlu terus dihayati sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian.
Menurut beliau, generasi muda perlu tampil sebagai pewaris dan duta budaya dengan mempelajari bahasa ibunda, menghayati adat resam serta menguasai seni tarian dan muzik tradisional masyarakat Kayan.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Makan Malam dan Penangguhan Sarawak Kayan Cultural Carnival (SKCC) 2026 bertemakan ‘Rhythm of Cultural Heritage & Traditions’ di Dewan Utama, Bangunan FORUM, di sini pada Ahad.
Tambahnya, warisan budaya tidak seharusnya hanya dikenali menerusi rakaman video, gambar atau bahan sejarah, sebaliknya perlu terus dihidupkan melalui amalan dan pemindahan ilmu daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan penganjuran festival dwitahunan berkenaan bukan sekadar platform persembahan dan pertandingan kebudayaan, malah mencerminkan komitmen masyarakat Kayan dalam mempertahankan identiti serta jati diri mereka.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak merangkap Presiden Persatuan Kayan Sarawak, Dato Dennis Ngau, Pengerusi Persatuan Kayan Sarawak (PKS) Cawangan Miri, Tommy Raymond Jok dan Pengerusi Penganjur SKCC 2026, Ts. Mellvyne Sigo. -EDISI UKAS