Limbang Open International Tug of War 2027 Dapat Penyertaan Menggalakkan
LIMBANG: Kejohanan Limbang Open International Tug of War terus mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 50 pasukan pada edisi tahun ini, manakala jumlah hadiah wang tunai bagi edisi 2027 bakal ditingkatkan kepada RM132,000.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, peningkatan itu melibatkan tambahan RM10,000 bagi kategori terbuka serta RM5,000 masing-masing bagi kategori wanita dan belia.
Menurut beliau, kejohanan edisi 2026 berjaya menarik penyertaan pasukan dari luar Limbang, termasuk Sabah dan Negara Brunei Darussalam, sekali gus menjadikannya antara penganjuran yang mencatatkan penyertaan terbesar setakat ini.
Kehadiran peserta dan pengunjung turut memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat, khususnya dalam sektor penginapan dan perniagaan makanan.
“Terima kasih kepada 50 pasukan yang hadir untuk memeriahkan dan membanjiri Limbang. Kehadiran mereka turut memberikan suasana meriah kepada bandar ini apabila hotel dan homestay penuh, malah restoran-restoran juga menerima permintaan tinggi sepanjang kejohanan berlangsung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penangguhan Limbang Open International Tug of War 2026, di sini pada Ahad.
Pada kejohanan tahun ini, pasukan Gerambeat Sabah muncul juara kategori Lelaki Terbuka 720 kilogram (kg) sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000.
Dua lagi kategori turut dimenangi pasukan dari Sabah apabila Borneo Ladies Tow menjuarai kategori Wanita Terbuka 680 kg, manakala Kolej Vokasional Keningau muncul juara kategori Remaja Bawah 23 Tahun (U23) 640 kg.
Dalam pada itu, Datuk Dr Abdul Rahman turut menggalakkan semua pasukan yang mengambil bahagian tahun ini untuk kembali menyertai kejohanan edisi akan datang, selain mengajak orang ramai berkunjung ke Limbang sempena pelbagai program yang bakal dianjurkan.
Antaranya ialah Program Badudun dan Lumba Kerbau, Hari Belia dan Limbang Motor Day serta sambutan Ambang Tahun Baharu 2027.
Turut hadir Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi, Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal, Pengerusi Majlis Daerah Limbang merangkap Presiden Persatuan Tarik Tali Bahagian Limbang, Kr. Sufian Mohat dan Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot. -EDISI UKAS