Pasukan Robotik Sarawak Cemerlang, Raih Tujuh Kedudukan Lima Terbaik NROC 2026
SELANGOR: Pasukan robotik Sarawak mencatat pencapaian membanggakan pada Pertandingan Robotik Terbuka Kebangsaan (NROC) 2026 dengan meraih tujuh kedudukan lima terbaik serta lima lagi kedudukan dalam kelompok 10 terbaik kebangsaan bagi pelbagai kategori pertandingan.
Kejayaan pada pertandingan yang berlangsung di Universiti SEGi dari 14 hingga 15 November itu turut membuka peluang kepada tujuh pasukan Sarawak untuk mewakili Malaysia pada World Robot Olympiad (WRO) 2027.
Antara pencapaian paling menyerlah ialah Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak (IPGKS), Miri yang berjaya merangkul tempat kedua, ketiga dan keempat dalam kategori RoboMission Rookie (Upper) Institusi Awam, sekali gus membuktikan keupayaan bakal pendidik dalam bidang robotik.
Turut mencatat kejayaan ialah Sekolah Menengah Riam Road yang meraih tempat kedua dalam kategori RoboMission Rookie (Upper) Institusi Swasta, manakala SMK Chung Hua Miri menduduki tempat ketiga dalam kategori RoboSports Institusi Swasta.
Sementara itu, Riam Hill International Secondary School meraih tempat keempat dalam kategori RoboMission Rookie (Upper) Institusi Swasta, manakala Borneo International School menduduki tempat kelima dalam kategori RoboMission Rookie (Lower) Institusi Swasta.
Sarawak turut meraih lima lagi kedudukan dalam kelompok 10 terbaik kebangsaan menerusi penyertaan SMK Chung Hua Miri, SMK Marudi, Sekolah Menengah Pei Min dan SJKC Chung Hua Pujut.
Penyertaan institusi pendidikan lain termasuk SJKC Chung Hua Miri, SJKC Chung San Miri dan SJKC Chung Hua Krokop turut mencerminkan perkembangan bakat robotik di Sarawak pada peringkat pendidikan rendah, menengah dan latihan perguruan.
Kejayaan tersebut merupakan hasil komitmen para pelajar, guru, jurulatih, institusi pendidikan dan ibu bapa, di samping sokongan berterusan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) dalam memperkasakan bidang robotik serta pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Pencapaian itu turut membuktikan keupayaan Sarawak bukan sahaja dalam melahirkan pasukan robotik yang berdaya saing, malah membangunkan generasi inovator, jurutera dan pendidik STEM masa hadapan.
Kejayaan pada NROC 2026 itu juga menjadi pemangkin kepada persiapan Sarawak sebagai tuan rumah World Robot Olympiad (WRO) Open Championship Asia-Pacific 2027 di Kuching, sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak dalam arena robotik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. –EDISI UKAS