Sekretariat LOC Kluster Sarawak Guna ECOMS Licinkan Persiapan Sukan SEA 2027
KUCHING: Sekretariat LOC Kluster Sarawak mempergiatkan persiapan sebagai tuan rumah bersama Sukan SEA Malaysia 2027 dengan memberi tumpuan kepada persediaan 21 jawatankuasa yang bertindak sebagai tulang belakang utama penganjurannya di sini.
Ke arah itu, Sekretariat LOC Kluster Sarawak telah menganjurkan bengkel Event Coordination & Management System (ECOMS) yang disertai kira-kira 100 peserta mewakili 21 jawatankuasa dari pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan di Hotel Pullman Kuching pada Isnin.
Ketua Sekretariat LOC Kluster Sarawak, Datu Hii Chang Kee berkata, sistem yang dibangunkan oleh Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) itu bertujuan untuk memudahkan pemantauan setiap tugasan yang dilaksanakan sepanjang penganjuran temasya dwitahunan dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027.
Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) menjelaskan, ECOMS akan membolehkan setiap jawatankuasa yang bertanggungjawab memantau prestasi projek yang dilaksanakan bagi memastikan ia tidak lewat hingga menjejaskan keseluruhan persiapan.
Katanya, selain mengelak isu kelewatan, sistem tersebut juga diyakini membantu dalam mempercepatkan pelaksanaan setiap tugasan, terutama projek yang bersifat kritikal.
Justeru, beliau menyeru setiap jawatankuasa agar bersikap proaktif dan komited dalam memastikan apa juga tugasan yang telah diamanahkan dilaksanakan mengikut jadual bagi memastikan kelancaran penganjuran Sukan SEA 2027 di Sarawak. - EDISI UKAS