Majlis Kraf Sarawak Fokus Perkasa Industri Kraf Sarawak
BALAI RINGIN: Majlis Kraf Sarawak (SCC) akan terus komited memperkasa industri kraf Sarawak menerusi pembangunan kemahiran, inovasi produk, penyelidikan serta pengembangan pasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif SCC Suriya Charles Buas berkata, komitmen itu dibuktikan melalui pelaksanaan pelbagai program di bawah Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), Promosi dan Pemasaran serta Unit Pembangunan Industri (UPI).
"Pihak kami setakat ini telah pun mengadakan sebanyak 39 program yang melibatkan 1,030 peserta di bawah UPI, 36 program (282 peserta) di bawah Promosi dan Pemasaran serta sembilan program (230 peserta) di bawah R&D, SCC.
"Kesemua program ini kami laksanakan kerana kemahiran tradisional perlulah disesuaikan dengan keperluan pasaran semasa melalui penambahbaikan reka bentuk dan kualiti produk, kreativiti dan inovasi, peningkatan produktiviti, pembangunan pembungkusan dan penjenamaan serta strategi pemasaran yang lebih berkesan," kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Bengkel Kraf SCC bagi Daerah Pantu yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan di Depo Balai Ringin, pada Isnin.
Tambahnya, peranan SCC bukan sahaja tertumpu kepada pemeliharaan warisan, malah merangkumi pembangunan kapasiti penggiat kraf, keusahawanan serta peluasan pasaran.
Menurut Suriya, Industri kraf bukan sekadar penghasilan produk fizikal tetapi melibatkan pemeliharaan identiti dan budaya penduduk Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian kemahiran tradisional berpotensi tinggi untuk dikomersialkan.
Justeru, beliau berharap agar penggiat kraf dalam negeri ini bukan sahaja mampu menghasilkan produk berkualiti malah mempunyai keupayaan untuk memasarkannya bagi menjana pendapatan.
Terdahulu, seramai 52 individu telah menyertai Bengkel Pembuatan Kuas Balau yang telah dilaksanakan melalui dua siri latihan iaitu di Rumah Bonny, Kampung Sungai Mansau dari 21 hingga 22 Julai dan di Rumah Junau, Kampung Isu Pulor, Pantu bermula dari 13 hingga 14 Ogos. -EDISI UKAS