MIRI: Institusi keagamaan perlu terus memainkan peranan dalam memperkukuh perpaduan, membentuk nilai murni dan memupuk keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, institusi keagamaan bukan sekadar berfungsi sebagai tempat beribadat, malah turut menjadi wadah memperkukuh institusi kekeluargaan serta menyumbang kepada pembangunan sosial dan kerohanian masyarakat.
Menurutnya, bangunan baharu Gereja Borneo Evangelical Mission (BEM) Vista Perdana Iban Fellowship diharap dapat menjadi pusat penyatuan komuniti yang menyemai nilai kasih sayang, keprihatinan dan sikap saling menghormati.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan bangunan baharu BEM Vista Perdana Iban Fellowship di Vista Perdana, pada Isnin.
Dato Sri Lee turut berharap gereja berkenaan dapat memainkan peranan aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada komuniti tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
Tegas beliau, keharmonian masyarakat merupakan nilai penting yang perlu terus dipelihara, khususnya di Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian kaum, budaya dan agama.
Menurutnya, pembangunan sesebuah kawasan bukan sahaja diukur melalui kemajuan infrastruktur dan ekonomi, malah perlu merangkumi pembangunan sosial, kerohanian serta keharmonian masyarakat.
Dalam pada itu, beliau merakamkan tahniah kepada jawatankuasa pembangunan gereja, kepimpinan gereja dan seluruh warga BEM Vista Perdana Iban Fellowship atas kejayaan merealisasikan pembinaan bangunan berkenaan hasil usaha, pengorbanan, sumbangan dan komitmen bersama.
Kejayaan itu katanya, membuktikan bahawa semangat perpaduan, kerjasama dan kesepakatan mampu merealisasikan sesuatu impian walaupun berdepan pelbagai cabaran.-EDISI UKAS