Skuad Prihatin PBB Pantai Damai Santuni Lapan Penerima Di Empat Kampung
KUCHING: Keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat terus diperkasa menerusi inisiatif turun padang Skuad Prihatin PBB Pantai Damai yang menyantuni lapan penerima bantuan di empat kampung sekitar kawasan Pantai Damai, di sini, pada Isnin.
Lawatan kebajikan yang diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi itu melibatkan Bandar Baru Samariang, Kampung Rampangi, Kampung Santubong dan Kampung Gersik.
Daripada jumlah keseluruhan, seorang penerima disantuni di Bandar Baru Samariang, dua di Kampung Rampangi, empat di Kampung Santubong dan seorang di Kampung Gersik.
Menerusi lawatan tersebut, bantuan perubatan, kewangan dan bakul makanan disampaikan kepada penerima mengikut keperluan masing-masing bagi meringankan beban serta membantu memenuhi keperluan harian mereka.
Selain itu, sumbangan dua buah kerusi roda turut disampaikan kepada penerima di Kampung Santubong dan Kampung Gersik bagi memudahkan pergerakan serta meningkatkan keselesaan mereka dalam menjalani kehidupan seharian.
Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen Skuad Prihatin PBB Pantai Damai dalam memastikan golongan memerlukan, khususnya mereka yang berdepan masalah kesihatan dan kekangan kewangan, tidak terpinggir daripada perhatian.
Pendekatan turun padang itu juga membolehkan keperluan masyarakat dikenal pasti dengan lebih dekat, sekali gus memastikan bantuan kebajikan dapat disalurkan secara bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan.-EDISI UKAS