Dewan Serbaguna Kampung Perian RM450,000 Siap, Bakal Manfaatkan Penduduk
LUNDU: Projek pembinaan Dewan Serbaguna Kampung Perian bernilai RM450,000 telah siap, sekali gus menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan kondusif kepada penduduk untuk melaksanakan pelbagai aktiviti sosial dan kemasyarakatan.
Lawatan pemeriksaan akhir projek berkenaan telah diadakan pada Isnin bagi meninjau kualiti pembinaan serta tahap kesiapsiagaan dewan sebelum digunakan sepenuhnya oleh masyarakat setempat.
Kewujudan dewan serbaguna itu bukan sahaja memenuhi keperluan penduduk dalam penganjuran pelbagai program komuniti, malah menjadi wadah memperkukuh hubungan silaturahim dan perpaduan masyarakat.
Bagaimanapun, urusan penyambungan bekalan elektrik dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) masih perlu diselesaikan bagi membolehkan dewan berkenaan beroperasi sepenuhnya.
Untuk rekod, projek yang dilaksanakan oleh kontraktor Alex Enterprise itu menelan kos RM450,000 dengan kerja-kerja pembinaan bermula pada 20 Mac 2026 dan dijadualkan siap pada 19 September 2026.
Pembinaan dewan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa kemudahan infrastruktur luar bandar, sekali gus meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat setempat.-EDISI UKAS