Jom Meriahkan Sarawakku Sayang 2026 Samarahan Pada 22 & 23 November Ini
KUCHING: Orang ramai khususnya penduduk Bahagian Samarahan dan kawasan sekitarnya dijemput memeriahkan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Siri Ke-11 yang berlangsung pada 22 dan 23 November ini di Halaman Samarahan dengan pelbagai perkhidmatan kerajaan, inisiatif bantuan serta aktiviti menarik menanti pengunjung.
Majlis perasmian program berkenaan dijadual disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 23 November ini.
Penganjuran program selama dua hari itu merupakan usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, sekali gus memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat dan bantuan daripada pelbagai agensi di satu lokasi.
Antara tumpuan utama ialah kaunter pertanyaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 yang menyediakan penerangan mengenai syarat kelayakan, kadar bantuan serta kaedah penyaluran secara digital menerusi platform SPay Global.
Bagi tahun 2026, kadar bantuan SKAS ditetapkan sebanyak RM1,100 untuk isi rumah yang layak, RM600 bagi warga emas dan RM375 untuk individu bujang.
Inisiatif yang dijangka memanfaatkan hampir 900,000 penerima di seluruh Sarawak itu mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Selain itu, pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat mengenai Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), termasuk institusi pengajian tinggi yang terlibat, bidang pengajian yang ditawarkan serta syarat kelayakan.
Golongan belia dan pencari kerja pula boleh memanfaatkan kaunter JobSarawak bagi mendapatkan maklumat mengenai peluang pekerjaan, pembangunan kerjaya serta padanan pekerjaan dengan majikan yang menyertai program berkenaan.
Turut disediakan ialah perkhidmatan saringan kesihatan dan kecergasan serta pameran kesihatan secara percuma bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Program itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga termasuk sukaneka rakyat, Konsert Rakyat dan e-Peraduan yang menawarkan hadiah menarik sepanjang dua hari penganjuran.
Pada masa sama, penganjuran SKS 2026 menjadi wadah penyebaran maklumat mengenai pencapaian, inisiatif serta hala tuju pembangunan Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Justeru, orang ramai dialu-alukan untuk hadir bersama keluarga bagi memanfaatkan pelbagai perkhidmatan dan peluang yang disediakan, di samping memeriahkan program berkenaan.-EDISI UKAS