Projek IAC Mulu Bernilai Lebih RM40 Juta Mulakan Pembangunan Pekan Mulu
MIRI: Pembangunan Pekan Mulu mula direalisasikan menerusi pelaksanaan projek kemudahan awam di Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Mulu bernilai lebih RM40 juta, dengan fasa pertama dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, fasa pertama projek itu merangkumi pembinaan medan selera, pusat seni, kerja menaik taraf jalan masuk serta penyediaan tapak pembangunan.
“Projek ini menandakan permulaan pembangunan Pekan Mulu yang bakal mengubah landskap kawasan berkenaan serta membawa manfaat kepada penduduk Kampung Malinau dan Kampung Batu Bungan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek IAC Mulu, pada Isnin.
Menurutnya, kontraktor telah menyiapkan jalan akses sepanjang 29 kilometer dari Long Terawan ke tapak projek, manakala beberapa jentera pembinaan turut dibawa masuk bagi memulakan kerja pembangunan.
Beliau berkata, projek berkenaan menjadi permulaan kepada pembentukan Pekan Mulu yang bakal mengubah landskap kawasan itu serta membawa manfaat kepada penduduk Kampung Malinau dan Kampung Batu Bungan.
Mengulas perancangan pembangunan seterusnya, Datuk Gerawat berkata fasa kedua dan ketiga IAC Mulu dirancang merangkumi pembinaan kompleks pejabat kerajaan, kediaman kakitangan kerajaan, Dewan Suarah serta kompleks sukan mini.
Ujarnya, pembangunan tersebut dijangka membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat setempat, disokong lagi dengan infrastruktur jalan raya moden menerusi pembinaan Jalan Miri-Marudi-Mulu-Long Lama (MMMLL) yang akan bersambung dengan Sabah-Sarawak Link Road Fasa 2 (SSLR2).
Ujarnya, rangkaian jalan raya berkenaan dijangka meningkatkan kedatangan pelancong ke Mulu, sekali gus menyokong pembangunan IAC.
Pelaksanaannya mengambil masa berikutan proses kelulusan tapak, penyediaan pelan dan reka bentuk serta penyelarasan antara pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, selain cabaran logistik dan kos pembangunan yang tinggi.
Turut hadir Pegawai Penguasa Pejabat Daerah Kecil Mulu, Rebetta Jangi, Pengurus Projek BDC, Petrus Romulus, Penghulu Benedick Wak, Penghulu Jimbau, Ketua Kaum Kampung Malinau, Johnny Ipoi, Ketua Kaum Kampung Batu Bungan, Avit Turau serta Presiden Persatuan Berawan Sarawak, Edward Laing Ipoi.-EDISI UKAS