Sistem i-Integrity Perkukuh Tadbir Urus, Pemantauan Pegawai Integriti Sarawak
KUCHING: Kerajaan Sarawak bakal memperkukuh kecekapan pengurusan integriti dan tadbir urus menerusi pembangunan sistem i-Integrity atau Integrated Integrity System, sebuah platform digital bersepadu bagi memantau rekod, aktiviti serta prestasi Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) secara lebih sistematik.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, pembangunan sistem berkenaan merupakan langkah penting dalam menangani cabaran pengurusan maklumat CeIO yang ketika ini dilaksanakan secara berasingan oleh setiap agensi.
Menurut beliau, keadaan itu menyukarkan penyelarasan rekod pegawai, aktiviti, latihan, pencapaian prestasi serta penyediaan laporan berkaitan integriti.
“Oleh itu, pembangunan i-Integrity amat penting bagi mengatasi cabaran tersebut melalui satu platform digital bersepadu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Mesyuarat Permulaan Projek i-Integrity-Integrated Integrity System di sini pada Selasa.
Datuk Dr Juanda menjelaskan, pembangunan i-Integrity merupakan sebahagian daripada inisiatif pendigitalan Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Katanya, pelaksanaan awal Modul 1 bagi tempoh 2026 hingga 2027 akan memberi tumpuan kepada pembangunan pangkalan data CeIO bagi memastikan pengurusan maklumat lebih tersusun, cekap dan mudah diakses.
Antara komponen utama sistem itu termasuk papan pemuka digital, profil dan prestasi CeIO, persatuan CeIO, pusat maklumat, latihan, penjanaan sijil serta laporan.
Sistem berkenaan turut dilengkapi fungsi pemantauan oleh ketua jabatan selain integrasi dengan platform kerajaan sedia ada seperti GEMS, Agency Directory, SVENT dan SCS Workspace bagi memudahkan penyelarasan maklumat antara agensi.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan i-Integrity dijangka meningkatkan akauntabiliti, ketelusan dan keberkesanan pemantauan menerusi pengurusan rekod digital, kawalan akses pengguna, jejak audit serta penjanaan laporan secara sistematik.
Tambahnya, pendekatan tersebut membolehkan UNIONS menilai prestasi dan sumbangan CeIO secara lebih menyeluruh, di samping mengenal pasti ruang penambahbaikan serta keperluan pembangunan kompetensi pegawai.
Hadir sama, Pengarah UNIONS, Wan Mohamad Wan Drahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS), Busiai Seman.-EDISI UKAS