UKAS Betong Hulur Bantuan Air Minuman Kepada 28 Keluarga Mangsa Kebakaran Matop
SPAOH: Pejabat Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Betong menyalurkan sumbangan sebanyak 56 karton air minuman kepada 28 keluarga yang terjejas akibat kebakaran Rumah Panjang Matop, Paku, Spaoh, sebagai tanda keprihatinan terhadap mangsa yang ditimpa bencana.
Penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Pegawai UKAS Bahagian Betong, Tony Malang, ketika mengadakan kunjungan ke rumah panjang berkenaan pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau merakamkan rasa simpati kepada semua keluarga mangsa yang terlibat dan berharap sumbangan tersebut dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mereka.
Sebanyak dua karton air minuman disalurkan kepada setiap keluarga sebagai bantuan asas bagi kegunaan mereka dalam menghadapi situasi pascabencana.
Sumbangan tersebut telah diserahkan kepada wakil penduduk Rumah Panjang Matop, Weselly Pungga di perkarangan Pondok Serbaguna Rumah Panjang Matop.
Sumbangan itu merupakan salah satu usaha UKAS Bahagian Betong untuk membantu meringankan beban keluarga yang terjejas, khususnya dalam memenuhi keperluan asas selepas kejadian kebakaran.-EDISI UKAS