Wanita GPS Digalak Perkukuh Peranan Dalam Masyarakat
KUCHING: Penglibatan aktif golongan wanita dalam pelbagai lapisan masyarakat terus menjadi elemen penting dalam memperkukuh hubungan komuniti, menyampaikan maklumat serta meningkatkan kesedaran mengenai isu dan keperluan rakyat.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, wanita mempunyai peranan dan pengaruh besar dalam institusi keluarga serta masyarakat, khususnya dalam membentuk pandangan dan meningkatkan kefahaman terhadap perkembangan semasa.
Menurut beliau, golongan wanita yang mewakili kira-kira separuh daripada keseluruhan penduduk Sarawak berpotensi menjadi penggerak penting dalam memperkukuh komunikasi dan hubungan di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, penglibatan wanita dalam aktiviti kemasyarakatan dan organisasi juga mampu memperluas jaringan kerjasama serta memastikan maklumat dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada masyarakat setempat.
Perkara itu dinyatakan ketika beliau berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) Ke-13 di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, pada Selasa.
Majlis berkenaan menghimpunkan wakil Wanita GPS dari seluruh Sarawak sebagai platform memperkukuh penyelarasan organisasi, kerjasama dan komunikasi dalam kalangan ahli menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Turut hadir Ketua Pergerakan Wanita PBB merangkap Ketua Wanita GPS, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak), Datuk Rosey Yunus, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee dan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.- EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira Jalil
Foto: Hazryn Sunaini